top of page
zaman

Pengecualian AP permit import RM10,000 untuk kereta Elektrik-Azmin Ali


KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kerajaan bersetuju memberi pengecualian bayaran fi permit import (AP) sebanyak RM10,000 ke atas setiap unit kereta elektrik (EV) yang diimport syarikat pemegang lesen AP terbuka dalam usaha memelihara alam sekitar yang lebih bersih.


Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah itu diharap dapat membantu membangunkan ekosistem EV selaras dengan Dasar Automatif Nasional 2020 (NAP 2020).


Beliau berkata, ia sekali gus berupaya membantu mencapai sasaran Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga.


“MITI sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan, di mana kerajaan bersetuju memberi pengecualian kepada syarikat pemegang AP terbuka yang dilantik kementerian ini.

“Pengecualian ini diharap akan menyokong usaha MITI untuk meningkatkan penawaran kereta EV di pasaran sekali gus membantu membangunkan ekosistem kenderaan elektrik itu.

“Sebagai usaha untuk memelihara alam sekitar yang bersih, penawaran EV ke dalam pasaran negara adalah digalakkan,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.


NAP antara dasar utama kerajaan, selain Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Pelaburan Baharu Berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional 2021-2025 bagi membantu melonjakkan ekonomi negara.

Melalui Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam, sejumlah RM1.557 bilion diperuntukkan buat MITI yang meliputi peruntukan mengurus sebanyak RM625.09 juta dan peruntukan pembangunan bernilai RM932.45 juta.


Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, melalui peruntukan itu, MITI akan meneruskan usaha mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang terpilih demi pelaburan baharu yang berkualiti tinggi, berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.


Beliau berkata, ia adalah seiring dengan usaha Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang baharu dilancarkan yang memberi penekanan kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan melonjakkan trajektori pertumbuhan jangka panjang negara.


Sementara itu, beliau berkata, Malaysia akan terus mengejar peluang pasaran eksport melalui perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).


Mohamed Azmin berkata, usaha itu dilaksanakan dengan menggunapakai persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan dan pragmatik serta memberikan sokongan kepada industri terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta generasi muda untuk menghadapi cabaran yang akan datang.


“MITI berpegang teguh dengan sistem perdagangan pelbagai hala yang berpaksikan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya.


Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, ekonomi Malaysia berada di landasan pertumbuhan dan pemulihan yang kukuh dengan pelaburan terus berkembang untuk tempoh Januari hingga Jun 2022.


“Sejumlah RM123.3bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama telah direkodkan, mewujudkan hampir 58,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Comments


bottom of page