top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pengendali Skuad B-23 Negara Mahu Pemain Tampil Lebih Agresif

3 sept

Nafas baharu pastinya kini ditagih buat skuad bawah 23 kebangsaan (B-23), setelah pelantikan baharu jurulatih mereka iaitu E. Elavarasan baru-baru ini bagi menggantikan khidmat Brad Maloney.


Menurut pengendali tersebut, beliau bakal menerapkan falsafah baharu buat para pemain muda ini untuk tampil lebih agresif serta mendominasi perlawanan berbanding aksi sebelum ini.


Menurut Elavarasan, sebelum para pemain muda ini beraksi untuk skuad senior, beliau mahu mereka untuk lebih berani mengambil risiko dan bersedia berbanding sebelum ini


“Kita akan mengikut prinsip sama seperti pasukan senior tetapi di B-23, kita akan jadi lebih agresif pada sesi latihan dan mengambil lebih banyak risiko dalam persembahan. Kita mahu pemain menjadi lebih dominan.

“Mereka juga perlu menjadi lebih dinamik dan berani seperti berani untuk bergerak ke hadapan dan menyerang dengan lebih banyak pemain. Tetapi kita juga perlu seimbang.

“Kita mahu menekan lawan sehingga mereka membuat kesilapan dan membuat pertahanan lawan tidak seimbang dengan corak permainan yang lebih berisiko berbanding pasukan utama.

“Ini bagi menjadikan mereka lebih matang untuk memenuhi kehendak di pasukan senior sekiranya mereka berpeluang menyertai pasukan itu nanti,” katanya menerusi Berita Harian.


Sebelum itu, persoalan nyata bermain di fikiran para pemerhati bola tempatan yang ingin mengetahui siapa yang bakal memegang tampuk kejurulatihan skuad B-23 negara.


Kemasukan Elavarasan dilihat sangat tepat kerana pengendali tersebut sebelum ini pernah bersama-sama Kim Pan-gon untuk melatih skuad senior sebagai pembantu jurulatih.

Untuk itu, pemilihan pengendali tersebut untuk melatih pemain muda dilihat sangat tepat kerana dapat menyambung kesinambungan falsafah permainan daripada skuad senior ketika ini.


Sebelum itu, skuad B-23 kebangsaan dilihat gagal untuk memberi segala yang terbaik dalam kejohanan disertai, selain corak permainan mereka dikritik keras oleh pemerhati bola sepak negara.


Kemasukan Elavarasan bersama pembantu beliau pastinya diharap dapat menaikkan kembali mutu permainan para pemain muda negara pada masa akan datang.

Ketika ini, skuad senior sudah pun membuktikan mereka mampu bangkit menerusi aksi permainan yang kembali positif setelah pelantikan Pan-gon selaku pengendali negara.

Sumber:Berita Harian

bottom of page