top of page
  • newsatmy

Penulis, pelakon Jit Murad meninggal dunia

13 Februari 2022

KUALA LUMPUR: Penulis, pelakon teater dan filem terkenal, Jit Murad dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu pada usia 62 tahun.


Berita pemergian Allahyarham atau nama sebenarnya, Aziz Mirzan, disahkan oleh beberapa teman rapat Allahyarham.


Setakat ini, punca sebenar kematian Allahyarham masih belum dikenal pasti.


Allahyarham yang merupakan anak kepada bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Murad Mohamed Noor mula bergiat aktif dalam filem, televisyen dan teater pada 1987.


Beliau juga merupakan abang kepada penerbit filem, Na’a Murad.


Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Lumpur memiliki pendidikan dalam bidang Sosiologi (Pengajian Bandar) dan Ijazah Sarjana dalam Seni Sejarah.


Sepanjang kariernya, Allahyarham disegani sebagai seorang penulis, pelakon dan penerbit teater yang berdedikasi dan dinamik.


Allahyarham turut dikenali sebagai seorang penulis yang prolifik di Asia Tenggara selepas berjaya menghasilkan beberapa naskhah kontemporari yang pernah meraih beberapa anugerah termasuk di Anugerah Boh Cameronian.


Dalam hantaran terbaharu di Twitter, Na'a menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan atas kiriman ucapan takziah dan doa mereka.


"Dia (Jit) pasti akan merasa gembira mendapat tahu ramai yang menyayanginya dan disanjung oleh rakan-rakan seperjuangannya," tulis Na'a. Thank you for all your wishes. He would be happy to know he was loved by friends and respected by fellow artists. I must switch off now so you wont hear from me for some time. No disrespect intended. — Na'a (@NaaMurad) February 12, 2022 Allahyarham pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dari industri kreatif Malaysia termasuk Datuk Krishen Jit, Datuk Zahim Albakri dan Jo Kukathas.


Beliau pernah membintangi filem, "Selubung", "Mimpi Moon", "Talentime" dan 1957: Hati Malaya.


Sementara itu, aktres kacukan Cina-Inggeris, Susan Lankester menyifatkan Allahyarham sebagai anak seni yang berbakat besar, menawan dan bijak.


Susan turut memuat naik gambar dengan kapsyen 'off you go Jit' di laman Instagramnya hari ini.


Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kemas kini dilaman Twitter turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.


Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. So very sad to hear of Jit Murads passing. We worked together in A Man For All Seasons (Actors Studio, dir Joe Hasham) in 2004. His acerbic wit, incisive commentaries on social life, and bonhomie will forever be missed. Al-Fatihah. pic.twitter.com/cUSDCseNS5 — Fahmi Fadzil (@fahmi_fadzil) February 12, 2022

Setakat ini, Astro AWANI masih mendapatkan perkembangan terkini berhubung pemergian Allahyarham.


Difahamkan jenazah Allahyarham kini berada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan akan dikebumikan esok (Ahad).

Comments


bottom of page