top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Penyanyi Girls Aloud, Sarah Harding meninggal dunia

6 September 2021

PENYANYI popular, Sarah Harding yang menghidapi penyakit kanser payudara disahkan meninggal dunia pada usia 39 tahun.


Perkara itu disahkan sendiri oleh ibu kepada penyanyi kumpulan Girls Aloud itu menerusi satu perkongsian di akaun Instagram pada Ahad.


Pada Ogos 2020 lalu, Harding mengumumkan bahawa dia telah disahkan menghidapi kanser, yang telah merebak ke bahagian lain tubuhnya.


Menerusi perkongsian di Instagram, ibunya Marie menyifatkan pemergian anak perempuannya itu sebagai kilauan bintang yang bersinar.


“Ramai di antara anda semua mengambil maklum bahawa Sarah berjuang dengan penyakit kanser sehingga ke hari terakhirnya.


“Dia menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan tenang pagi tadi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas sokongan baik sebelum ini.


“Ini sangat bermakna buat Sarah dan ia menjadi satu kekuatan untuk mengetahui bahawa dia disayangi ramai.


“Saya tahu dia tidak mahu dikenang kerana dia melawan penyakit yang dahsyat ini - dia adalah bintang yang bersinar terang dan saya harap begitulah dia dapat dikenang,” jelas Marie.


Harding mula menjadi terkenal pada tahun 2002 sebagai peserta di Popstars: The Rivals - pertunjukan bakat yang bertujuan untuk mencari girlband dan boyband baharu.


Dia berjaya ke final dan terpilih dalam kumpulan yang dinamakan sebagai Girls Aloud, bersama Nicola Roberts, Nadine Coyle, Kimberley Walsh dan Cheryl Cole.


Antara lagu Girls Aloud yang terkenal adalah berjudul “I’ll Stand By You”.

bottom of page