• newsatmy

Penyanyi terkenal Afgan positif COVID-19

13 Julai 2021

Selepas Bunga Citra Lestari (BCL) dijangkiti COVID-19, seorang lagi artis termasyhur Indonesia, Afgan pula mengumumkan berita dia juga menjadi mangsa terbaharu wabak itu sejak beberapa hari lalu.


Sehubungan itu, artis berusia 32 tahun itu berkata, dia kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.


Bagaimanapun, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza menyatakan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang simptom kronik virus itu.


"Saya dijangkiti COVID. Hari ini merupakan hari keempat saya dan setakat ini tidak mengalami sebarang gejala. Barangkali kerana sudah divaksinasi, jadi semua orang tolong dapatkan vaksin kerana sekiranya anda dijangkiti virus itu, ia tidak akan seburuk itu,” kata Afgan dalam perkongsian di akaun Instagramnya.


Berikutan menjalani kuarantin kendiri di rumah, penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu tidak terlepas daripada memberi perhatian pada kesihatannya dengan melakukan senaman ringan.


"Beginilah cara saya untuk kekal aktif selama kuarantin sekadar melakukannya secara ringan dan mudah. Buat anda yang dijangkiti COVID-19 tanpa gejala seperti saya, sekiranya mahu bersenam, lakukanlah dengan ringan,” ujar artis yang juga sahabat rapat penyanyi Rossa.


Sementara itu, di ruangan komen akaun Instagramnya itu, beberapa selebriti dari negara jiran itu turut memberikan kata-kata semangat kepada Afgan serta mendoakan agar dia segera diberi kesembuhan.


Antara yang menurunkan komen ialah BCL yang menulis komen ringkas ‘semangat’ buat rakannya itu.


Tidak ketinggalan penyanyi terkenal, Marcell yang menitipkan doa semoga Afgan agar segera sihat dan kembali normal.