top of page
  • zaman

Perancis menewaskan wakil benua Afrika, Maghribi yang gagah berani

15 Disember

Perancis mempamerkan kekentalan untuk mengatasi cabaran Maghribi yang gagah berani dan kini berpeluang mempertahankan kejuaraan Piala Dunia dalam pertarungan terakhir menentang juara Amerika Selatan, Argentina.


Gol Theo Hernandez dan pemain gantian, Randal Kolo Muani, meletakkan Perancis berada di final Piala Dunia keempat dan memberi mereka peluang menjadi pasukan pertama mengekalkan kejuaraan sejak Brazil melakukan 60 tahun lalu.


Pasukan yang dipenuhi pemain berbakat berjaya mengatasi Maghribi melalui jaringan awal permainan pada minit ke-5, diikuti jaringan kedua 11 minit sebelum tamat perlawanan untuk bertemu Argentina, pasukan diketuai Lionel Messi yang menewaskan Croatia 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.


“Ada rasa emosi dan bangga, kami bersama selama sebulan dan akan menuju ke perlawanan terakhir. Ia tidak pernah mudah, tetapi setakat ini, kami bahagia,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.


Perancis menghadapi pertarungan yang menarik dengan Maghribi menunjukkan kayakinan dan langsung tidak gentar menghadapi penyandang juara apabila mencipta banyak peluang, termasuk hampir mendapat jaringan penyamaan.


Pertahanan negara yang pernah menjajah Maghribi, terpaksa berhempas-pulas, termasuk mengeluarkan bola yang kelihatan hampir pasti menerjah gawang dan mengenai tiang serta sepakan gunting menakjubkan.


Bagaimanapun, penyudah yang hebat menjadi perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan dengan gol Hernandez dan Kolo Muani, memastikan Perancis dapat melepasi cabaran hebat Maghribi.


Walaupun tersingkir ketika hampir sampai ke puncak, Maghribi keluar dengan kepala yang boleh diangkat tinggi kerana menjadi negara Afrika dan Arab pertama melangkah sejauh ini dan boleh menjangkakan sambutan meriah apabila pulang selepas penentuan tempat ketiga dan keempat.


“Kami membayar dengan harga tinggi kerana kesilapan yang sedikit. Kami tidak memasuki perlawanan ini dengan baik dan gol kedua membunuh kami, tetapi itu tidak menghilangkan semua yang dilakukan sebelum ini,” kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui.


Paling hampir Maghribi mendapatkan gol penyamaan ialah melalui sepakan gunting Jawad El Yamiq yang menakjubkan pada babak pertama hingga memaksa Hugo Lloris, melakukan aksi menyelamat sensasi.


Maghribi juga melakukan banyak serangan lain, namun dikecewakan sentuhan terakhir penyerang atau keputusan pengadil.


Percaturan menurunkan pertahanan tengah pilihan pertama, Nayef Aguerd dan Romain Saiss, ternyata kesilapan kerana kedua-dua pemain tidak bertahan lebih daripada 20 minit.

“Kami mengalami beberapa kecederaan, tetapi itu bukan alasan. Kami berikan yang paling maksimum, itu yang paling penting,” kata Regragui


Sekali lagi majoriti penonton di Stadium Al Bayt memberi sokongan padu kepada Maghribi, tetapi Perancis berada dalam kelas yang tersendiri untuk muncul pemenang. – REUTERS

bottom of page