top of page
  • zaman

Perarakan bot nelayan dihiasi Jalur Gemilang pada 28 Ogos ini


BATU PAHAT, 18 Ogos – Perarakan bot nelayan sejauh 15 kilometer yang dihiasi Jalur Gemilang akan diadakan di perairan Semerah hingga Sungai Lurus, di sini pada 28 Ogos ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65.


Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata bot-bot itu akan singgah di beberapa jeti di sepanjang laluan berkenaan untuk mengagihkan Jalur Gemilang kepada komuniti nelayan di kawasan itu.

“Golongan berkenaan (komuniti nelayan) difahamkan sering tertinggal dalam aktiviti pengagihan bendera kerana sebelum ini kebiasaannya Jalur Gemilang sering diagih kepada kenderaan di jalan raya sahaja seperti motosikal, kereta, lori dan bas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Jalur Gemilang Kepada Ketua Kampung dan Agensi Kerajaan di Parlimen Batu Pahat di sini pada Rabu.


Mohd Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata bermula 15 Ogos lepas hingga 16 Sept ini, pihaknya mengadakan beberapa acara menarik berkaitan semangat cintakan negara.


Beliau berkata selain mengagih bendera dengan menggunakan bot nelayan, konvoi agihan bendera juga akan dilaksanakan dengan menggunakan basikal dan motosikal.

“Ini kali pertama kita gabungkan cara agihan bendera di laut dan juga darat dengan anggaran keseluruhan jumlah bendera yang kita berikan sekitar 5,000 helai,” katanya.

bottom of page