• Arissa

Perarakan Dataran Merdeka: Dr Mahathir, Mukhriz selesai beri keterangan

10 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selesai memberikan keterangan kepada polis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini berhubung perarakan di Dataran Merdeka, baru-baru ini.


Selain Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu, turut memberi keterangan ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


Perkara itu dimaklumkan oleh peguam yang mewakili mereka, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan, sebentar tadi.


"Dr Mahathir dan Mukhriz telah memberi kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah," demikian menurut kenyataan itu.


Jelas kenyataan tersebut lagi, proses memberi keterangan berlangsung sekitar 2.45 petang sehingga 3.30 petang, melibatkan empat pegawai polis dari Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman.


Siasatan dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.


Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu dalam kemas kini di laman Twitter turut mengesahkan perkara itu.


Pada 2 Ogos lalu, Dr Mahathir menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.


Turut menyertai perarakan tersebut ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal; serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Selain itu, hadir sama ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.


Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan berhubung isu sama.



--AWANI