top of page
  • Writer's pictureNihaba

Perayaan Thaipusam bawa 'kavadi', mandi sungai berkumpulan mungkin tidak dibenarkan

7 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Upacara membawa 'kavadi' dan ritual mandi di sungai secara berkumpulan merupakan antara aktiviti yang dicadangkan tidak dibenarkan semasa sambutan Thaipusam bulan hadapan.


Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique bagaimanapun berkata, cadangan prosedur operasi standard (SOP) perayaan tersebut akan diangkat untuk diluluskan menerusi tiga mesyuarat pada 13 hingga 15 Dis ini.Segala keperluan dalam sesi libat urus dan cadangan SOP tersebut akan diangkat ke mesyuarat berikut untuk kelulusan.


" Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dijangka pada 13 Dis serta Mesyuarat Kuartet Menteri yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, yang dijangka diadakan pada 14 Dis. Selain itu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri yang dijangka pada 15 Dis.Setelah mendapat keputusan mesyuarat, surat makluman kelulusan SOP akan dihantar kepada pemimpin-pemimpin agama dan kenyataan media disediakan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang meminta Menteri Perpaduan Negara menyatakan SOP yang telah dirangka untuk sambutan Hari Thaipusam pada 18 Jan 2022.


Menurutnya, ia penting bagi membolehkan pihak kuil yang terlibat dan penganut-penganut membuat persediaan awal untuk sambutan tersebut.

Menurut Halimah, cadangan SOP tersebut dirangka hasil sesi libat urus pada 2 Dis lalu yang dihadiri 10 pemimpin agama Hindu dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Johor.


Antara cadangan yang dikemukakan adalah membenarkan upacara sembahyang mengikut SOP Pembukaan Rumah Ibadat Selain Islam dan membenarkan perarakan kereta berhala 'silver chariot' tertakluk kepada beberapa ketetapan.

Selain itu, penganut yang meraikan Thaipusam turut dibenarkan membawa 'paal koodam' (belanga berisi susu) dan mencukur rambut.-Astro Awani

Comments


bottom of page