top of page
  • admin

Perbincangan tarikh PRU15 dibawa ke Mesyuarat Kabinet Rabu ini- PM


PUTRAJAYA.19 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membawa isu berkaitan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada Mesyuarat Kabinet, Rabu ini.


Beliau perlu berbincang dengan menteri kabinet terlebih dahulu tentang tarikh pilihan raya , memandangkan kerajaan hari ini terbentuk daripada pelbagai parti.


Malah, perbincangan dengan Kabinet itu mungkin lebih cepat daripada pertemuan dengan pemimpin atasan UMNO atau ‘Top 5' yang terdiri daripada Presiden, Timbalan Presiden, dan tiga Naib Presiden parti.

"Saya akan bawa dalam Kabinet juga. Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau (Tan Sri) Muhyiddin kata nak PRU15 cepat, tidak kira sebab, kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil dalam Kabinet. Ada wakil Bersatu, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan UMNO.


"Kita akan bawa dalam mesyuarat Kabinet. Secepat mungkin, mungkin lebih mendahului daripada Top 5. Hari Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum saya berlepas ke UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Mungkin saya boleh bawa dalam mesyuarat Kabinet minggu ini,” katanya lagi.


Sebelum itu,Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara serta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), beranggapan ada keperluan untuk Parlimen dibubarkan lebih awal, bagi memberi ruang untuk rakyat memilih kerajaan yang lebih efektif.


Beliau berkata, saranan itu dikeluarkan selepas melihat ada kelemahan dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri berkaitan pengurusan ekonomi dan negara.


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau akan membawa beberapa isu berkaitan PRU15 ke dalam mesyuarat tersebut, termasuk juga pengurusan ekonomi seperti yang dibangkitkan Muhyiddin.

"Kita akan bincang, yang pertamanya, mungkin perbentangan dari segi ekonomi kerana sudah ada disebut samada kita berjaya atau gagal. Dan saya akan minta laporan daripada (Datuk Seri) Mustapa Mohamed (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) untuk beritahu kita.

"Kalau soal PRU15 yang perlu kita bincang, kita akan bincang dalam Kabinet,” katanya lagi.


Sebelum ini beberapa pakar Perlembagaan membangkitkan Peruntukan Perlembagaan tentang penentuan tarikh PRU, terutamanya berkaitan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.


Perkara itu memperuntukkan antara lain, dalam menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima serta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

bottom of page