top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Percantuman parti untuk bentuk kerajaan tidak boleh dianggap lompat parti - Dr Mahathir

20 September 2021

KUALA LUMPUR: Pembentukan sesebuah kerajaan melalui cantuman antara parti terbesar dan parti-parti politik lain tidak boleh ditafsirkan sebagai melompat parti.


Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, percantuman parti boleh diterima jika ia dilakukan dengan tersusun dan mengikut aturan serta perlembagaan parti masing-masing.


Justeru, tegas bekas perdana menteri itu, aktiviti melompat parti tidak boleh diharamkan dengan begitu mudah, sebaliknya tafsiran mengenainya perlu diperjelaskan.


"Ini kerana, adakalanya apabila diadakan pilihan raya, tidak ada satu pun parti yang memperolehi cukup bilangan (majoriti) untuk mendirikan kerajaan.


"Dalam keadaan sebegitu, ada keperluan parti-parti lain juga bersama dengan parti yang mendapat jumlah yang terbesar, supaya bilangan wakil rakyat dalam kerajaan melebihi separuh daripada bilangan kerusi Dewan Rakyat.


"Pembentukan cantuman parti lain dengan parti yang terbesar tidak boleh ditafsir sebagai melompat kalau ia dilakukan dengan cara tersusun, mengikut aturan dan perlembagaan parti-parti berkenaan, iaitu keputusan hendaklah diambil semasa mesyuarat parti," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.


Mengulas lanjut, Dr Mahathir berpendapat, soal melompat perlu dikaji sebelum diteruskan, bagi membolehkan Dewan Rakyat bergerak dengan lancar tanpa gangguan oleh karenah ahli-ahli Parlimen.

Comments


bottom of page