top of page
  • StrangePlay

Pergerakan anti-vaksin Malaysia : kepincangan media sosial.

PROGRAM Imunisasi Kebangsaan bakal menghadapi cabaran yang besar dalam mencapai Imuniti Kelompok : tentangan keras oleh golongan anti-vaksin. Menurut laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Imuniti kelompok ditafsirkan sebagai keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu. Sumber itu juga memetik daripada WHO yang mengganggarkan bahawa 60% hingga 70% populasi manusia perlu mendapat imunisasi daripada COVID-19 bagi mencapai imuniti kelompok.


Menentang penyakit haruslah bermula daripada puncanya. Bagi anti-vaksin, kita tidak perlu pergi jauh, bengkak ini menular melalui kumpulan-kumpulan Facebook yang menyebarkan perkara-perkara yang ulangkali telah disangkal ramai pakar. Di Malaysia, teori lazim adalah seperti perkaitan vaksin dengan Dajjal dan “Iluminati” dengan pegangan bahawa waktu ini merupakan akhir zaman. Dengan premis ini, mereka mula menyebarkan pseudosains seperti penggunaan Habatus Sauda bagi mengubati COVID-19 , dengan menyatakan itu merupakan makanan sunnah, tanpa memberi bukti saintifik akan keberkesanannya.


Faktor agama merupakan punca mengapa pergerakan anti-vaksin di Malaysia mendapat sambutan yang hangat. Mereka tertarik dengan perkara sensasi sebegini kerana pada mereka, ini selari dengan ajaran agama islam tentang situasi akhir zaman.


Walhal faktanya, vaksinasi merupakan langkah yang sudah lama dilaksanakan bagi membendung wabak. Dalam bahasa yang mudah, vaksin merupakan virus yang sama tetapi telah dilemahkan ke tahap ia tidak memberi manusia penyakit itu, namun cukup sekadar memastikan sistem imun badan mengenal pasti virus tersebut dan dapat menentangnya jika bertemu virus sebenar.


Usaha pakar-pakar perubatan dan agama bagi menyangkal pergerakan anti-vaksin menjadi sukar kerana kedua-dua pihak berpaksikan fakta yang berbeza. Pakar-pakar berbincang sesama mereka berpandukan penemuan saintifik manakala yang lagi satu berpegang pada sebaran kumpulan mereka.


Bagi pendukung agenda anti-vaksin, undang-undang menghukum penyebaran berita palsu merupakan pelanggaran kebebasan bersuara mereka. Mereka merasakan tindakan mereka menyebarkan maklumat tidak sahih yang meracun pemikiran masyarakat tertakluk kepada hak mereka bersuara.


Persoalannya, adakah wajar kita beri hak kebebasan bersuara di media sosial, jikalau hak ini membawa ancaman yang besar kepada negara?


Sumber :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/643462/pantau-laman-fb-antivaksin

bottom of page