• Arissa

Perjanjian Kerajaan dan PH bakal transformasikan Parlimen, bina semula Negara – Mustapa

14 September 2021

KUALA LUMPUR: Perjanjian yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bakal mentransformasikan Parlimen dan pentadbiran kerajaan serta menjadi pemangkin untuk membina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dengan perjanjian tersebut negara akan dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk memulihkan ekonomi.


“Inilah wajah Keluarga Malaysia. Bersama-sama berganding bahu untuk membina negara.


“Pandemik ini telah menguji kita semua tetapi ia juga membawa seribu rahmat, menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di laman media sosial Facebook beliau, hari ini.


Kerajaan dan PH hari ini melakar sejarah negara apabila buat pertama kalinya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata memorandum berkenaan yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mendukung enam agenda.


Ia merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.