top of page
  • admin

Perjanjian MA63 masih rundingan di peringkat pegawai


PUTRAJAYA, 5 Jan- Kerajaan memutuskan supaya siri rundingan terdahulu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diteruskan di peringkat pegawai untuk tindakan kementerian dan agensi. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia seterusnya akan dibawa kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) atau Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. Menurut beliau Kabinet juga sudah meluluskan langkah untuk memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas MA63 (MKMA63) menerusi MTPMA63. Ia akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta melibatkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Mesyuarat pertama dijadualkan pada bulan depan di Kuching bersempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke-10 ke Sarawak. Manakala bagi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan beliau sendiri akan melihat dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamadkan semua perkara yang belum diputuskan untuk dibawa kepada MTPMA63.


"Antara perkara yang sudah dimuktamadkan ialah proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada kerajaan negeri Sabah yang sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember tahun lalu," menurutnya dalam kenyataan. Selain itu, kabinet juga bersetuju menambah baik peruntukan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan melibatkan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak. Secara prinsipnya, Jemaah Menteri bersetuju mempertimbangkan penambahbaikan Pemberian Khas sedia ada. Jemaah Menteri juga bersetuju mengiktiraf agensi teknikal di Sabah dan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya di kedua-dua negeri tersebut diiktiraf sebgai Jabatan Teknik. Dengan pengiktirafan itu, JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.

bottom of page