• Arissa Azman

‘Perjudian’ bakal dibenarkan, UAE jalin kontrak dengan syarikat kasino dari AS

27 Januari 2022

Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini tidak membenarkan aktiviti perjudian dilaporkan telah menjalinkan usaha sama bersama sebuah jenama kasino terbesar Amerika Syarikat, Wynn Resorts seperti laporan AP News.


Syarikat perjudian yang bertapak di Nevada itu mengumumkan bahawa sebuah perjanjian bernilai berbilion dolar telah diadakan dengan UAE di mana ia akan menyaksikan pembukaan hotel mewah dengan 1,000 bilik, 10 restoran dan kemudahan ‘perjudian’ di bandar Ras al-Khaimah.


Ini sejajar dengan perancangan Lembaga Kemajuan Pelancongan Ras al-Khaimah yang memperkenalkan jabatan baharu iaitu Hiburan dan Peraturan Perjudian yang ditugaskan untuk mengawal selia ‘resort bersepadu’ merangkumi operasi hotel, ruang hiburan, restoran, spa, kedai runcit, kawasan konvensyen dan aktiviti ‘perjudian’.


Namun begitu, pihak Ras al-Khaimah tidak mengulas dengan lebih lanjut mengenai ‘perjudian’ yang dimaksudkan sama ada ia melibatkan pertaruhan wang tunai atau sebaliknya.


UAE yang sememangnya dikenali dengan penciptaan bangunan pencakar langit yang tinggi, pusat beli belah dan juga sosio ekonomi mereka yang mewah sering saja dibandingkan dengan Las Vegas; namun hanya dipisahkan dengan perbezaan agama iaitu Islam tidak membenarkan aktiviti perjudian.


Meskipun pengambilan alkohol dan peraturan memakai bikini sudah pun dibenarkan di beberapa negara Timur Tengah, namun perjudian masih tidak dibenarkan dan jika dilaksanakan, ia akan menjadi penanda besar dalam pembaharuan liberalisasi.


Sekadar info, Wynn Resorts terkenal dengan penubuhan kasino dan hotel mewah di bandar-bandar besar seperti Las Vegas dan Macau.