top of page
  • newsatmy

'Perkahwinan PH-Umno' khianati rakyat - Adun PKR


Kerjasama antara DAP, PKR, Amanah dan Umno membentuk kerajaan negeri baru di Perak, jika berlaku, pasti akan mengecewakan rakyat khususnya penyokong Pakatan Harapan, kata wakil rakyat PKR Machap Jaya, Ginie Lim.


Keliru dengan usul gabungan itu, kerjasama itu tidak berdasarkan prinsip dan polisi, tetapi untuk memenuhi kepentingan peribadi atas nama kestabilan politik dan rakyat, tegas Lim.


"Cadangan ini akan mengecewakan penyokong PH dan rakyat kerana mandat rakyat dalam PRU ke-14 pada tahun 2018 adalah menolak kerajaan kleptokrat yang dipimpin oleh Barisan Nasional-Umno di bawah Najib Razak ketika itu.


"Maka adalah menjadi satu pengkhianatan kepada mandat rakyat jika PH bekerjasama semula dengan Umno dan memberi nafas baru kepada parti yang telahpun ditolak oleh rakyat," kata Lim pada satu kenyataan.


Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan dia telah berbincang dengan pemimpin Umno mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan negeri yang baru.


Bagaimanapun, katanya kemungkinan kerjasama itu hanya akan dibuat sebagai blok dengan rakan PH lain, DAP dan Amanah.


Lim memberi amaran gabungan sebegitu tidak akan bertahan lama kerana ia cuma "perkahwinan politik".


"Politik tanpa prinsip akan sentiasa penuh dengan tipu muslihat dan ketidakpercayaan.


"Akhirnya yang dikejar semata-mata jawatan dan kuasa di atas nama kestabilan kerajaan dan kebaikan rakyat.


"Sekiranya inilah yang dikejar, apakah perjuangan reformasi lebih dua dekad ini suatu yang sia-sia," soalnya.


bottom of page