top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Perkukuh Inisiatif Digital Kerajaan untuk tambah baik penyampaian Perkhidmatan Awam

4 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Inisiatif digital kerajaan perlu dipertingkatkan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Beliau berkata usaha-usaha sedia ada seperti Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOS Gateway) boleh diperkukuhkan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif Identiti Digital Nasional.


GOS Gateway merupakan portal sehenti untuk menambah baik usaha menjalankan perniagaan dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.


“Di bawah rangka tindakan MyDigital, kami menggariskan pelan untuk memacu transformasi digital, bagi menyediakan perkhidmatan dalam talian bersepadu dan menyeluruh, memanfaatkan teknologi awan dan data terbuka serta menambah kemahiran penjawat awam.


“Ini adalah kunci kepada kita untuk bergerak ke arah kerajaan digital,” kata Mustapa semasa webinar ‘Digitising Public Service Delivery’ (Mendigitalkan Penyampaian Perkhidmatan Awam) yang diadakan hari ini.


Acara itu dianjurkan oleh Strategic Change Management Office, secara kerjasama dengan konglomerat telekomunikasi Axiata Group Bhd dan firma perundingan pengurusan Boston Consulting Group.


Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas Bersama firma perundingan Francis Maude Associates (FMA), Francis Maude berkata kepimpinan yang mantap, mandat dan keupayaan diperlukan untuk memacu perubahan dan transformasi digital dalam sesebuah kerajaan.


“Kepimpinan pusat perlu mempunyai mandat yang sewajarnya untuk dapat beroperasi, memberi inspirasi kepada rakyat dan mewujudkan muhibbah dalam kerajaan dan yang paling penting mempunyai keupayaan untuk berkata tidak dan mempunyai tahap autoriti teknikal dan keupayaan yang tinggi,” katanya pada webinar tersebut.


Beliau juga berkata inovasi penting untuk melakukan kemajuan dan perubahan dan pembaharuan perkhidmatan awam adalah suatu yang sangat penting.


Maude merupakan menteri kabinet United Kingdom dari 2010 hingga 2015.



--PN Online

bottom of page