• newsatmy

Perlis izin jemaah sebumbung rapatkan saf semasa solat di masjid

22 Mac 2021

Bermula esok, Perlis membenarkan jemaah solat merapatkan saf bersyarat di semua masjid di negeri itu.


Bagaimanapun, kebenaran itu hanya diberikan kepada jemaah yang hadir bersama keluarga tinggal sebumbung untuk merapatkan saf sesama mereka, manakala jemaah lain masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ketetapan itu mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah melihat kepada keperluan sedia ada dan tahap ketaatan serta kepatuhan tinggi seluruh rakyat terhadap SOP ditetapkan kerajaan.


“Jemaah yang hadir bersama keluarga tinggal sebumbung boleh merapatkan saf sesama mereka, dengan memastikan selain daripada mereka, perlu mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter seperti ditetapkan dalam SOP," titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.


Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu turut terpakai untuk semua aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu serta solat tarawih dan kuliah pengajian di semua masjid dan surau asrama sahaja, manakala pelaksanaan sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis masih tidak dibenarkan.


Pada masa sama, baginda mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mengutamakan integriti dan kejujuran dalam menjamin kelancaran pelaksanaan ketetapan yang dibenarkan.


- Bernama