top of page
  • newsatmy

Persatuan sukan perlu telus dalam pemilihan atlet

21 Mac 2021

SEMUA persatuan sukan kebangsaan diingatkan agar tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam memilih atlet bagi membawa cabaran kontinjen negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam, November depan.


Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, persatuan sukan diberikan tempoh bermula sekarang sehingga Jun depan untuk menganjurkan kejohanan bagi memilih atau menyenaraikan atlet terbaik mereka menghadapi temasya dwitahunan itu.


Katanya, ini selepas persatuan sukan kebangsaan memaklumkan yang mereka berdepan kesukaran bagi menilai prestasi atlet disebabkan tiadanya kejohanan yang disertai sejak Mac tahun lalu susulan pandemik COVID-19 yang melanda.


“Kami mahu pemilihan yang adil bagi memastikan ketelusan dalam proses persiapan kontinjen negara. Kami juga tidak mahu sebarang isu berbangkit nanti yang akhirnya persatuan sukan kembali kepada kami.


“Sebab itu, persatuan sukan diminta untuk menganjurkan kejohanan bermula sekarang hingga Jun depan.


“MSN (Majlis Sukan Negara) akan bekerjasama dengan mereka berhubung garis panduan yang ditetapkan oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya.

bottom of page