top of page
  • admin

Persediaan mental, fizikal penting bagi para petugas kendalikan PPS


KUALA LUMPUR, 28 Sept – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata program itu telah disertai seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan JKM, agensi-agensi lain dan juga sukarelawan.


Rina berkata persediaan mental, fizikal dan emosi adalah sangat penting bagi para petugas dan sukarelawan yang akan mengendalikan PPS di seluruh negara khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Katanya, terdapat sebanyak 96 buah PPS melibatkan 12 kawasan parlimen yang berkapasiti untuk menempatkan 22,145 orang mangsa bencana.


“Program ini diadakan sebagai latihan dalam memastikan persediaan rapi dibuat oleh semua pegawai dan kakitangan JKM dan agensi-agensi terlibat supaya sentiasa bersiap sedia seterusnya dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap, bersepadu dan berkesan di PPS.

“Berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 (Semakan Semula), Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, JKM mempunyai empat peranan dan tanggungjawab utama,” katanya.


Tambahnya, empat peranan itu adalah menyedia dan menyelenggarakan pusat-pusat pemindahan mangsa-mangsa bencana.


Beliau berkata kedua adalah menyediakan dan mengedarkan bantuan makanan, pakaian dan lain-lain keperluan asas kepada mangsa-mangsa bencana.

“Ketiga menjalankan pendaftaran mangsa-mangsa bencana bagi maksud pemulihan dan keempat memberi bimbingan, nasihat/kaunseling kepada mangsa-mangsa bencana,” katanya.


Mengulas lanjut, Rina berkata sehingga Sehingga 23 Sept lalu, JKM telah mendaftarkan sebanyak 6,010 buah PPS untuk kapasiti seramai 1.6 juta orang mangsa di seluruh negara berdasarkan pengesahan dan kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).


Katanya, bilangan PPS itu juga dijangka akan bertambah apabila proses pendaftaran semua sekolah sebagai PPS selesai.

“Pembukaan dan pengoperasian PPS ini adalah di bawah keputusan Pegawai Daerah dan bagi WP Kuala Lumpur, Datuk Bandar selaku Pengerusi JPBD.

“Sekiranya berlaku pembukaan PPS dalam keadaan ad hoc, Pegawai Daerah selaku Pengerusi JPBD boleh memutuskan pembukaan PPS dalam keadaan mendesak tanpa melalui Mesyuarat JPBD,” katanya.


Tambah Rina, JKM juga merupakan anggota tetap bagi Mesyuarat JPBD yang bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setahun.


Dalam waktu yang sama, beliau berkata JKM juga sedang melaksanakan Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di seluruh negara yang melibatkan pelbagai pihak.


“Kementerian melalui JKM komited untuk bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat bagi memastikan negara dapat menguruskan bencana dengan sebaiknya khususnya dalam musim Monsun Timur Laut pada kali ini demi kebajikan dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.


“Seluruh rakyat turut diharapkan agar sentiasa bersiapsiaga dan mematuhi arahan pihak berwajib sekiranya terlibat dalam bencana khususnya bencana banjir, lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

bottom of page