top of page
  • newsatmy

Pertembungan tiga penjuru rugikan banyak pihak - PN Negeri Sembilan

18 Mac 2021

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mengakui bersedia mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutamanya melibatkan isu pembahagian kerusi.


Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, ini kerana pertembungan tiga penjuru hanya akan merugikan banyak pihak selain percaya BN dan PN mempunyai asas perjuangan yang tidak jauh beza.


“Secara prinsipnya kita bersetuju untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang akan merugikan semua pihak dan PN tidak menolak adakan sebarang rundingan dan kita juga mengalu-alukan rakan kita dari BN untuk duduk berbincang.


“Kita boleh bertolak ansur dalam banyak perkara yang mana BN dan PN pun asas perjuangannya tidak jauh beza. Jadi selagi belum PRU kita masih boleh berbincang, kalau sudah letak nama untuk penamaan calon nanti tidak boleh bincang dah,” katanya dalam sidang media mengumumkan senarai ahli Jawatankuasa Kepemimpinan Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan di Seremban hari ini.


Pada majlis tersebut, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapa, Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Hanapi Mohd Zain dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Datuk David Choong Vee Hing turut diumumkan sebagai Naib Pengerusi jawatankuasa berkenaan.


Dalam pada itu, Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah mengakui, PN Negeri Sembilan perlu lebih bekerja keras memandangkan ketiga-tiga parti yang menerajui PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan negeri ini tidak mempunyai pengaruh besar dan landskap politik negeri.


“Saya setuju di Negeri Sembilan ini, Pas, Gerakan dan juga Bersatu tidak kuat. Tetapi saya yakin PN di sini kukuh kerana kita terdiri daripada kaum-kaum utama di negeri ini yang boleh mewakili suara majoriti kaum secara amnya.


“Keputusan PRU-14 itu lain isunya, kita tidak boleh kaji. PN yang ada disini adalah sama konsepnya di pusat dan keyakinan itu boleh diterjemahkan melalui sokongan yang diberikan rakyat melalui mandat yang ada oleh kerajaan pusat sehingga hari ini,” tambahnya.


bottom of page