top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Peruntukan RM75 juta untuk bencana banjir di Kedah

24 Ogos 2021

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Ismail Sabri dalam lawatannya ke kawasan bencana di Kedah semalam mengumumkan peruntukan berjumlah RM75 juta yang merangkumi kerja naiktaraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer Fasa 1 berjumlah RM5 juta, pembinaan dua jambatan baharu berjumlah RM23 juta, pembinaan Empangan Sabo Fasa 1 berjumlah RM20 juta dan kerja-kerja penambahbaikan dan naiktaraf muka sauk (intake) loji rawatan air Gurun dan Tupah berjumlah RM2 juta.


Selain itu, bantuan wang ihsan akan diberi kepada keluarga yang terkesan sebanyak RM500 satu keluarga manakala bagi kes kematian, bantuan khas pengurusan kematian sebanyak RM5,000 seorang melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).


Di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), peruntukan juga disediakan bagi rumah yang terjejas.


Selain itu, bantuan bernilai RM12.7 juta akan diberikan bagi membaiki kemudahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa.


Bagi kerja membaikpulih kerosakan tanaman padi, infrastruktur bekalan air masyarakat, jalan, longkang dan titi kampung, bantuan bernilai RM3 juta disediakan.


"Saya telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memulakan projek pemulihan ini pada September 2021," ujar beliau.


Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar semua pihak terlibat hendaklah bersama-sama menyegerakan pelan pemulihan ini demi kebajikan rakyat Kedah dalam satu Keluarga Malaysia yang besar.



--PN Online

bottom of page