top of page
  • Farah

Pesalah juvana: Pelbagai punca jadi pencetus, pertimbang hukuman wajar


Kes seorang remaja perempuan yang dilaporkan membaling pisau ke arah adik lelakinya sehingga menyebabkan remaja itu meninggal dunia pada 19 Oktober lepas, pastinya mengejutkan banyak pihak. Remaja berusia 17 tahun 11 bulan (ketika kejadian) kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Kanak-kanak Johor Bahru pada 26 Oktober lepas atas pertuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adik lelakinya berusia 16 tahun, di sebuah rumah di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, Johor Bahru. Tertuduh, anak sulung daripada lima beradik itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya sehingga menyebabkan pendarahan yang banyak. Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Majistret menetapkan remaja berkenaan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali. Difahamkan, bapa remaja berkenaan membayar wang jaminan. Amarah bersarang Di sebalik pelbagai spekulasi yang timbul, ada yang menyalahkan remaja perempuan itu serta ibu bapanya namun tidak kurang juga ramai yang menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang berlaku. Pada usia yang masih mentah, remaja perempuan itu terpaksa menanggung ujian berat apabila kehidupan bertukar ‘gelap’ sekelip mata akibat perbuatannya. Menurut Prof Datin Dr Mariani Md Nor, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia, pelbagai punca boleh mengundang kepada kejadian seumpama itu termasuklah rasa amarah yang mungkin disebabkan pelbagai perkara dan ‘disimpan’ begitu lama. “Mungkin rasa marah disimpan begitu lama sehingga menyebabkan situasi menjadi tegang dan keadaan waktu itu mendesak akhirnya si pelaku mengambil jalan singkat untuk melepaskan kemarahan, rasa geram dan mungkin juga kebencian hingga membawa kepada insiden yang meragut nyawa ini. “Antara yang boleh dipelajari di sini ialah ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberi kasih sayang sama rata kepada setiap anak-anak. Tutur kata dan tindakan ibu bapa terhadap anak-anak amat penting kerana mereka sentiasa mendengar dan memerhati tingkah laku ibu bapa. “Jika ada anak-anak yang merasakan diri mereka sering diketepikan sebaliknya perhatian dan kemenangan sering diberikan kepada si adik (sebagai contoh), maka perasaan tidak puas hati, dendam dan marah itu akan sentiasa bersarang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Mariani adalah juga Ahli Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di institusi bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan. Beliau menambah, pergaduhan hingga membawa maut bukan disebabkan oleh satu atau dua punca, sebaliknya apa yang berlaku di akhirnya itu (kematian) adalah provokasi yang paling kemuncak atau ‘bom jangka’ yang akhirnya meletup dan berlaku insiden melibatkan tindakan di bawah keadaan separa sedar. Keibubapaan helikopter Sedikit sebanyak bersetuju mengenai pendapat bahawa anak-anak pada zaman ini mempunyai emosi dan daya ketahanan diri yang rapuh, Mariani berkata, berbanding generasi baby boomers, X dan Y, generasi terkini iaitu Z dan Alpha, kebanyakannya semua kemudahan serba serbi disediakan oleh ibu bapa mereka. “Ini juga boleh dikaitkan sebagai helicopter parenting atau keibubapaan ala helikopter. Helikopter pergerakannya boleh ke atas, ke bawah, ke kiri dan ke kanan, justeru ia seperti sifat ibu bapa yang sentiasa menjaga setiap inci pergerakan dan apa yang berlaku kepada anak mereka. “Sebagai contoh jika zaman dahulu anak-anak dimarahi dan dirotan oleh guru, apabila balik ke rumah dan mengadu pada ibu bapa, marah itu akan digandakan oleh ibu bapa sebagai pengajaran. Berbanding zaman sekarang, jika berlaku demikian, maka akan berlakulah pertelingkahan dan perdebatan antara ibu bapa dan guru kerana ibu bapa begitu menjaga anak-anak mereka,” katanya. Ironinya, anak-anak yang terlalu dijaga emosi, fizikal, intelek dan kesihatan mereka tidak mungkin dibiarkan melalui kesusahan dan kepayahan untuk mendapatkan sesuatu sekali gus tidak akan merasai pengalaman untuk menguasai kemahiran insaniah yang sepatutnya. Kemahiran insaniah merujuk kepada sikap bertolak ansur, mengambil giliran, boleh membuat keputusan, boleh menerima pendapat orang lain termasuk boleh menerima kekalahan kerana dalam hidup ini tidak semestinya menang. “Apabila mereka melalui kepayahan, kesakitan, kesengsaraan itu sendiri maka mereka akan dapat menggarap kesemua situasi ini dan akhirnya secara tidak langsung dapat mengurus emosi dan perasaan dan akhirnya mereka akan mempunyai daya ketahanan mental yang tinggi. “Mana mungkin seorang anak itu mempunyai daya ketahanan mental yang tinggi jika serba serbi terlalu dijaga, tidak boleh diusik, tidak boleh disentuh langsung,” katanya. Beliau pada masa sama menggalakkan ibu bapa mengamalkan gaya keibubapaan yang sesuai dan tidak hanya ‘menyuapkan’ segalanya kepada anak-anak kerana mereka memerlukan pengalaman dan kemahiran dalam menjalani kehidupan terutama apabila ibu bapa tiada lagi bersama. “Jangan terlalu dengan gaya autoritarian dengan tidak memberikan langsung peluang untuk anak-anak bersuara. Elakkan juga gaya permisif iaitu membiarkan anak-anak membuat apa sahaja yang mereka mahukan sebaliknya perlu ada ketegasan dan di dalamnya ada kemesraan dalam mendidik anak-anak dengan gaya autoritatif. “Beri mereka sokongan, ruang dan peluang untuk bersuara, mendengar pendapat mereka dan bersikap adil dalam melayani kerenah setiap anak-anak,” katanya menambah, bekalan ilmu untuk anak-anak bukan sekadar untuk mendapat ‘A’ dalam pelajaran tetapi juga bekalan kemahiran kehidupan. Hukuman jadi pengajaran, sokongan pulih semangat Mengulas juga tentang hukuman untuk pesalah juvana, Mariani berpandangan, mereka harus diberikan hukuman sewajarnya meskipun bawah Akta Kanak-Kanak 2001, si pelaku dikategorikan sebagai kanak-kanak kerana bawah umur 18 tahun, namun secara psikologinya golongan berkenaan sudah masuk ke alam remaja. “Hukuman bertujuan memberi pengajaran agar pelaku juvana belajar daripada kesilapan dan sedar ada perkara boleh dibuat dan ada perkara sebaliknya. Analoginya, jika seorang ayah memarahi anak atas kesilapan yang dibuat, tetapi si ibu memujuk dan membela si anak maka kita bimbang si anak akan ‘naik lemak’ kerana setiap kesalahan yang dibuat pasti ada orang yang akan membelanya. “Kita tidak mahu keadaan ini berlaku. Kita mahu pembelaan dan dalam masa sama hukuman yang sewajarnya diberikan sebagai pengajaran untuk masa akan datang,” katanya. Menyifatkan ibu bapa remaja perempuan itu berhadapan ujian besar kerana ‘kehilangan’ dua anak mereka sekali gus (si adik meninggal dunia dan si kakak berdepan episod hitam menyebabkan kematian adik), Mariani bagaimanapun berkata stigma masyarakat terhadap kejadian itu akan sentiasa ada.


“Masyarakat kita hidup dalam budaya apabila berlaku sesuatu mereka akan mengecam dan tidak kurang juga yang memberi nasihat membina. Hakikatnya apa yang perlu dibuat olehmasyarakat sekeliling terutama keluarga terdekat, rakan-rakan, jiran tetangga dan pihak sekolah ia memberi sokongan padu untuk memulihkan kembali semangat ibu bapa dan keluarga ini yang pada saya telah ‘hilang’. “Mulakan hidup baru. Apa yang ibu bapa mungkin sedar sebelum ini sebagai kesalahan, perbetulkan semula. Si kakak juga harus diberikan semangat, motivasi dan kasih sayang berterusan daripada ibu bapanya tidak kira apa juga hukuman yang bakal diterima nanti. Jangan biarkan dia terus hanyut dan dihantui rasa bersalah seumur hidup. “Dia telah menyebabkan kematian tanpa niat dan itu dilakukan tanpa berfikir panjang. Ada sebab mengapa dia tidak dapat memastikan tindak tanduk yang betul dan itu perlu dilihat semula apa punca-puncanya,” katanya menambah, stres dalam diri seseorang wujud daripada keadaan dan orang sekeliling yang terdekat dengan mereka termasuk ibu bapa, adik beradik dan rakan-rakan. Hormati undang-undang Berkongsi pandangan, peguam bela dan peguam cara Muhammad Hafiz Hood berkata, dari aspek undang-undang semua jenayah mesti disiasat, didakwa dan dihakimi dengan adil. “Ia melibatkan satu proses penyiasatan, pendakwaan dan perbicaraan yang panjang adalah satu perkara yang menyedihkan apabila tertuduh dalam kes ini adalah kakak kandung mangsa. Namun, undang-undang kekal sama dan “no one is above the law”. Simpati tidak membantu pelaku untuk tidak melalui proses perbicaraan yang panjang. “Masyarakat membuat pelbagai spekulasi termasuk menuding jari menyalahkan keluarga dan si pelaku. Hakikatnya, keluarga ini berada dalam keadan yang cukup tertekan kerana pelaku dan mangsa kedua-duanya adalah anak kandung mereka. “Persepsi masyarakat perlu diubah dengan tidak menghakimi mereka sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Memandangkan tertuduh telah dijamin dan mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan, maka adalah wajar untuk semua pihak menghormati proses seterusnya bagi memastikan pelaku diadili sewajarnya,” katanya. Berpengalaman 10 tahun sebagai pengamal undang-undang termasuk mengendalikan kes jenayah melibatkan kecederaan dan kematian ahli keluarga dengan ada yang dituduh di bawah Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan, Muhammad Hafiz berkata dalam kebanyakan kes jenayah di mahkamah, punca utama adalah penyalahgunaan dadah atau bahan-bahan terlarang. “Tidak banyak kes di mahkamah melibatkan ahli keluarga yang berpunca daripada dendam semata-mata sehingga membawa kepada kematian. Berdasarkan maklumat dan pertuduhan dalam kes ini, jelas sekali penggunaan bahan terlarang dan juga dendam bukanlah punca. Kes ini agak berbeza dan menyayat hati atas apa yang berlaku kepada kedua-dua pihak baik pelaku mahupun mangsa,” tambahnya. Pembelaan sewajarnya Menurut Muhammad Hafiz, pesalah juvana di Malaysa diberikan beberapa pengecualian dan peringanan di dalam sistem hukuman negara ini, antaranya mereka boleh dikecualikan daripada hukuman pemenjaraan yang panjang. Di bawah Akta Mahkamah Juvana 1947 di bawah Seksyen 12(1), mahkamah yang mengendali kes juvana boleh memerintahkan pesalah juvana untuk menandatangani bon berkelakuan baik atau memerintahkan menempatkan juvana di bawah jagaan penjaga yang sesuai atau dihantar ke sekolah pemulihan akhlak. “Undang-undang negara kita memberikan pengecualian dan peringanan kepada pesalah juvana. Konsep pencegahan dan pemulihan sememangnya diaplikasikan di dalam undang-undang dan hukuman melibatkan pesalah bawah umur ini. Cuma kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan apabila berlaku kejadian seumpama ini,” katanya. Beliau pada masa sama berkata konsep “innocent until proven guilty” adalah terpakai dalam semua pertuduhan jenayah sama ada sekecil-kecil jenayah sehingga pertuduhan yang paling besar. “Stigma masyarakat perlu diperbetulkan kerana dalam kes ini pelaku belum disabit bersalah.Walau apa jua keputusan mahkamah terhadap pelaku, masyarakat tidak wajar membuat justifikasi sendiri atau memberi label kepadanya kerana pelaku masih sebahagian daripada masyarakat. “Sama ada pelaku bersalah atau tidak, masyarakat dan mana-mana pihak tidak perlu menjadi ‘nasi tambah’ di dalam perjalanan hidup pelaku. Sekiranya didapati bersalah, prinsip kedaulatan undang-undang perlu diangkat dan semua pihak perlu menghormatinya dan jika didapati tidak bersalah ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat perlu memberi sokongan moral kepada pelaku untuk kembali bangkit dan melupakan episod hitam yang dilaluinya. “Pengalaman dan trauma termasuk melalui proses perbicaraan yang panjang sudah cukup memberi pengajaran kepada pelaku. Bukan tugas masyarakat untuk menghukum pelaku dan keluarganya atas kejadian yang telah berlaku,” katanya menambah, masyarakat perlu mengambil pengajaran dan lebih cakna terhadap isu kesihatan mental dan cara menghadapi tekanan apabila berhadapan dengan situasi seperti dalam kes berkenaan.

Comments


bottom of page