• newsatmy

Pesara kerajaan didakwa terlibat ubah wang haram

22 Mac 2021

PASIR MAS: Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas di sini hari ini, atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM753,220 hasil daripada aktiviti penyeludupan dan jual beli gading gajah secara haram sejak 2017 hingga 2019.


Md Nawi Ab Aziz, 70, yang juga bekas kerani sekolah bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi.


Daripada lapan pertuduhan, tiga melibatkan tertuduh menyembunyikan wang berjumlah RM409,960 di dalam akaun CIMB miliknya antara 1 Jan 2017 hingga 31 Dis 2019.


Tiga lagi pertuduhan adalah memperoleh wang berjumlah RM239,260 dipercayai merupakan hasil daripada aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun bank CIMB miliknya pada tempoh sama.


Md Nawi juga didakwa dengan dua pertuduhan memiliki 104,000 unit di dalam akaun amanah saham Permodalan Nasional Berhad miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, pada tempoh yang sama.


Tertuduh melakukan semua kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.


Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.


Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Nor Erini Mustapha.


-- BERNAMA

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.