• newsatmy

PH bincang kerjasama Anwar-Dr M tapi tiada keputusan dibuat

17 Januari 2021

sumber: Malaysiakini

Isu Pakatan Harapan (PH) menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad memang ada dibincangkan dalam mesyuarat majlis presiden gabungan itu baru-baru ini.


Bagaimanapun menurut sumber dalaman PKR tiada ketetapan atau keputusan diambil mengenai cadangan berkenaan.


“Memang benar isu kerjasama di antara Anwar Ibrahim dan Mahathir dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada Selasa lalu, tapi tiada sebarang keputusan diambil.


“Hal itu berada pada kedudukan tiada sebarang komitmen dibuat,” katanya kepada Malaysiakini.


Menurut sumber yang dekat dengan Anwar itu lagi sepanjang mesyuarat berlangsung kira-kira 95 peratus perbincangan meliputi isu pelaksanaan darurat dan ancaman Covid-19 di negara ini.


Terdahulu, dia diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang melaporkan presiden PKR itu sedia bekerjasama dengan Mahathir dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal untuk menubuhkan gabungan besar (grand coalition) bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Untuk rekod, kedua-dua tokoh itu mempunyai hubungan berliku dan panjang, bermula daripada pemecatan Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri ketika Mahathir menerajui negara pada 1998.


Mereka akhirnya berdamai bagi menjatuhkan Najib Razak dan Umno pada PRU ke-14.


Namun, sepanjang 22 bulan pentadbiran PH yang diterajui Mahathir, isu peralihan kuasa yang tidak jelas sentiasa membayangi gabungan itu dalam pertelingkahan tak berkesudahan termasuk di media massa.


Keadaannya menjadi lebih tegang selepas PH ditumbangkan dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri setelah menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Beberapa siri perbincangan antara Anwar dengan Mahathir pada Jun tahun lepas tidak membuahkan sebarang hasil. Sementara itu Shafie kekal menjadi menyokong Mahathir.


Menurut sumber berkenaan isu kerjasama dengan Mahathir dibangkitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada penghujung mesyuarat tersebut.


“Anwar menekan dalam mesyuarat itu bahawa asas kepada apa jua gabungan atau kerjasama ialah prinsip-prinsip yang jelas yakni komitmen terhadap agenda reformasi, tatakelola yang baik, menolak rasuah dan pelaksanaan dasar yang bermanfaat kepada rakyat,” tambahnya lagi.