top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PH gesa agensi penguatkuasaan hormat kebebasan badan kehakiman

28 April 2022

PAKATAN Harapan (PH) menggesa kerajaan Persekutuan memastikan agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan badan kehakiman.


Menurut Majlis Presiden PH, badan kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.


Tegas mereka, kebebasan itu mesti dikekalkan bagi memastikan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan politik yang dimeterai antara kerajaan dan pembangkang terus terlaksana.


“Majlis Presiden PH mengingatkan bahawa Perkara 4.1 di dalam MoU di antara kerajaan Persekutuan dan PH menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan Persekutuan perlu ‘memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman’.


“Maka PH mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman,” kata mereka dalam kenyataan media yang dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau.


Mereka mengulas tentang kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman agak keterlaluan”.


Memetik laporan News Straits Times semalam, Tengku Maimun berkata, walaupun rakyat termasuk ahli politik, pada tahap tertentu, bebas untuk mengkritik, ia tidak bermakna mereka boleh melancarkan serangan yang tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu, bagi kepentingan mereka sendiri.


Menyedari terdapat banyak kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam sedang dibicarakan di mahkamah, Tengku Maimun menambah, hakim dan badan kehakiman dijangka terdedah kepada kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh mereka yang terkesan akibat keputusan mahkamah.


Keadaan itu akan berlaku terutamanya jika sesuatu keputusan perbicaraan itu tidak memihak kepada mereka, ujarnya lagi.


Dalam masa yang sama, Tengku Maimun menegaskan integriti sistem keadilan dan kebebasan badan kehakiman tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.


Tengku Maimun turut menegaskan bahawa campur tangan luar dalam badan kehakiman tidak akan dilayan.


Sebaliknya, beliau berkata sesuatu kes diputuskan berdasarkan bukti di mahkamah dan prinsip undang-undang yang ditetapkan.

bottom of page