top of page
  • newsatmy

PH tidak mahu PRU, hanya mahu mandat kembali

25 Februari 2021

Pakatan Harapan (PH) tetap kekal dengan pendiriannya tidak mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan, sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan.


Dalam satu kenyataan, tiga setiausaha parti dalam gabungan PH mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihan raya.


"Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi.


"Maka PH kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU-14 adalah sah sehingga 2023.


"Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya, pada kadar segera," katanya dalam satu kenyataan.


Kenyataan tersebut ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Foke.


Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bersama kumpulannya menarik sokongan terhadap PH.


Pada bulan Mac, Muhyiddin membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Umno, PAS, GPS dan parti dari Sabah.


Bagaimanapun kini kedudukan kerajaan PN menjadi pertikaian kerana dikatakan sudah hilang majoriti.


Ia susulan tiga ahli parlimen BN iaitu, Tengku Razaleigh Hamzah, Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan terhadap Muhyiddin.


Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut membincangkan isu Jawatankuasa khas bebas darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu.


"Senarai nama telah diberikan kepada pihak kerajaan pada 21Januari lalu.


"Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.


"Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat," kata kenyataan itu lagi.



bottom of page