top of page
  • newsatmy

Piala AFF: Badan siasatan bebas sudah mula kerja

13 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya sudah memulakan proses bedah siasat berhubung prestasi hambar skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lepas.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan memaklumkan badan siasatan dipengerusikan bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Dell Akbar Khan itu bersidang buat pertama kali di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.


"Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat sulung itu ialah terma rujukan badan itu dalam mengumpul dapatan dan menilai laporan prestasi pasukan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan," menurut FAM. Ahli yang hadir pada mesyuarat itu adalah bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Alex Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O'Donell.

Turut berada pada mesyuarat tersebut ialah bekas instruktur kejurulatihan AFC Ganasegaran Suberamaniam, bekas kapten skuad Harimau Malaya Shukor Adan serta Pengarah Komunikasi Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Mohd Isa.


Pada 7 Jan lepas, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan pelantikan Dell Akbar, yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung FAM sebagai Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, setelah mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki perlawanan kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletak jawatannya dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukan.


-- BERNAMA

bottom of page