top of page
  • Writer's pictureNizam

Piala AFF: Lagi dua pemain 'Harimau Malaya' positif COVID-19

10 disember 2021

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan terus menerima tamparan pada kempen kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura apabila dua lagi pemain negara disahkan positif COVID-19.


Dua pemain itu adalah pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang dinobatkan Pemain Terbaik pada aksi pembukaan Kumpulan B Malaysia menentang Kemboja, Isnin lepas dan pemain pertahanan Quentin Cheng.


"Sudah tentu Akhyar bermain dengan amat baik pada perlawanan terdahulu tetapi disebabkan diuji positif COVID-19 beliau tidak boleh diturunkan petang ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan Malaysia bertemu Laos di Stadium Bishan, Singapura, semalam.



"Saya harap beliau kembali pulih dan segera dapat menyertai pasukan semula selepas ini," tambah pengendali berusia 53 tahun itu.

Pada masa sama, Pengurus Pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi Bernama di Singapura, memaklumkan Quentin yang merupakan pemain Selangor FC turut disahkan positif COVID-19 pada ujian saringan waktu yang sama.


Perkembangan itu menyaksikan seramai empat daripada keseluruhan 24 pemain skuad Harimau Malaya di Singapura telah diuji positif COVID-19 selepas penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim turut disahkan positif pada Ahad lepas.


Muhammad Khairulazhan dan Faisal Halim yang tidak bergejala telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sekali gus hampir pasti terlepas tiga aksi pertama Kumpulan B kejuaraan.


Pada aksi menentang Laos petang tadi, Malaysia yang turun tanpa kelibat Muhammad Akhyar dan Quentin dalam senarai pemain, mudah membenam skuad bimbingan jurulatih kelahiran Singapura V. Selvaraj 4-0 untuk merakam kemenangan kedua Malaysia dalam saingan kumpulan.


Malaysia dijadual menentang juara bertahan Vietnam pada Ahad sebelum berdepan musuh tradisi Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B 19 Dis ini dalam misi menjadi dua pasukan terbaik layak ke peringkat separuh akhir.





-- BERNAMA


コメント


bottom of page