top of page
  • admin

Piala Dunia Hoki: Pemain tak perlu gusar- S.Kumar

10 Jan

Jurulatih penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar tidak mahu barisan pemain gusar untuk menghadapi gergasi dunia, Belanda pada aksi sulung Piala Dunia Hoki 2023 di Rourkela dan Bhubaneswar, India.


Layak ke Piala Dunia buat kali kesembilan, skuad negara akan berdepan pasukan ranking ketiga dunia itu pada 14 Januari nanti.


Belanda nyata lawan yang cukup sukar buat skuad Speedy Tiger berbekalkan kepada rekod sebagai juara dunia tiga kali dan turut melayakkan diri ke perlawanan akhir edisi 2018.


Malah pada saingan yang turut berlangsung di India tersebut, Belanda membelasah Malaysia 7-0 pada aksi pembukaan dimana Kumar bertindak selaku penjaga gol skuad negara pada ketika itu.


Sedar tugas sukar dihadapi, Kumar mengharapkan barisan pemain yang dipilih membawa cabaran negara dapat mempamerkan kemampuan individu masing-masing untuk menyajikan persembahan terbaik.

“Apabila bermain menentang Belanda, kita tidak boleh fikir ‘alamak, kita akan bertemu dengan Belanda’. Tak boleh ada mentaliti seperti itu.”

“Kita perlu berikan yang terbaik ketika bertemu dengan Belanda,” ujar Kumar menurut sumber video temubual dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

“Sekiranya perlawanan pertama kita sudah lemah semangat kalau apa-apa terjadi, ia akan menjejaskan semangat pemain kita.”

bottom of page