• Nihaba

Piala Thomas-Indonesia dan China mara ke final

17 oktober- Arena Ceres

DUA pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Thomas, China dan Indonesia akan berentap sekali lagi untuk menjulang piala berprestij itu pada edisi 2020 di Arena Ceres di sini.



Kedua-dua pasukan itu bangkit selepas ketinggalan satu mata sebelum masing-masing melakarkan kemenangan 3-1 pada saingan separuh akhir malam tadi.


Juara bertahan China menempah slot final buat kali ke-13 dengan menumpaskan Jepun manakala Indonesia layak ke perlawanan akhir buat kali ke-20 selepas menyingkirkan tuan rumah Denmark.


Ini akan menjadi pertarungan gelaran kali keenam antara dua gergasi badminton dunia selepas China muncul juara pada 1982, 1986 dan 2010 manakala Indonesia menang pada edisi 1984 dan 2000.


Indonesia, pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Thomas dengan 13 gelaran, tetap tenang walaupun kalah acara perseorangan pertama apabila pemenang emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen menyumbang mata pertama kepada Denmark dengan mengalahkan Anthony Sinisuka Ginting 21-19, 21-15.


Beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fenaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo menyamakan kedudukan selepas berhempas pulas mengatasi Astrup-Anders Skaarup Rasmusswen 21-13, 10-21, 21-15.


Pemain ranking ketujuh dunia Jonatan Christie, 24, kemudian meletakan Indonesia di kedudukan 2-1 selepas bertarung selama 100 minit sebelum menyingkirkan Anders Antonsen 25-23, 15-21, 21-16.


"Pertama, saya ingin bersyukur kepada Tuhan kerana membantu saya... 100 minit wow!. Saya tidak dapat menjelaskan lagi tetapi saya hanya memberi tumpuan mengumpul mata demi mata. Menampilkan aksi sebaik mungkin dan apabila berjaya membaca rentak lawan, saya menjadi lebih bermotivasi.


"Dia bermain dengan pantas dan bijak melakukan serangan. Saya terpaksa memperlahankan rentak permainan dan bertukar kepada corak pukulan jauh,” kata Jonatan.


Perjuangan Indonesia kemudian digalas beregu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto untuk mengesahkan kedudukan dalam usaha menamatkan kemarau gelaran selama 19 tahun selepas 2002, apabila pasangan itu mengetepikan cabaran Mathias Christiansen-Frederik Sogaard dengan 21-14, 21-14.


Dalam satu lagi saingan separuh akhir, Jepun mengorak langkah kanan apabila pemain utama China Shi Yu Qi, yang ketinggalan 20-22 dan 5-20 kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota, terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan.


China, selaku juara 10 kali, bagaimanapun, menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gandingan He Ji Ting-Zhou Hao Dong yang menewaskan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yuta Watanabe 21-17, 7-21, 21-16.


Pemain berusia 21 tahun, Li Shi Feng, yang juga pemain nombor 65 dunia, kemudian memperagakan aksi menarik untuk mengejutkan pemain nombor 13 dunia, Kanta Tsuneyawa 21-17, 21-15.


Beregu Liu Cheng-Wang Yi Lyu mengesahkan kemenangan 3-1 dengan mengalahkan gandingan Akira Koga-Taichi Saito 21-11, 22-20. - Bernama