top of page
Writer's pictureArissa Azman

"PIKAS percepat imuniti kelompok" - Azmin Ali

21 Jun 2021

Bagi melindungi nyawa dan kesihatan rakyat, kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘total lockdown’ bagi mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti negara.


Meskipun tindakan itu akan menjejaskan ekosistem ekonomi negara, namun kerajaan tidak akan sesekali berkompromi soal hidup dan nyawa rakyat.


Berikutan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memperkenalkan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) khusus kepada pekerja di bawah sektor pembuatan, bermula 16 Jun lalu.


Melihat kepada data-data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau maklum kluster baharu sekarang kebanyakannya dari tempat kerja.


Oleh itu, kerajaan akan laksanakan PIKAS bagi mengelakkan jangkitan virus dari terus meningkat dalam kalangan pekerja, terutamanya dalam subsektor pembuatan.


"Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah ‘total lockdown’,


"Keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ianya adalah sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam,


"Namun begitu, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan MITI, pihak kami tidak teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,

"Bagi PIKAS ini, saya menyasarkan seramai dua juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini," katanya melalui laman media sosial miliknya.


Untuk merealisasikan perkara ini, ianya juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempat di PPV PIKAS.


MOSTI dan KKM juga telah memberi jaminan Malaysia akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti.


Justeru, kepada industri yang belum berdaftar dengan PIKAS, beliau menyeru agar segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara.

"Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu,


"Jadi, sekali lagi saya ingin menyatakan, jangkitan COVID-19 ini dapat diputuskan sekiranya kita semua berganding bahu dan bekerjasama membantu mengekang penularan virus merbahaya ini dalam kalangan masyarakat," ujar beliau.



--PN Online

Comments


bottom of page