• newsatmy

Pindaan Ordinan Darurat beri gambaran kerajaan dah putus harapan - Pemuda Umno

21 April 2021

Tindakan Perikatan Nasional (PN) mewartakan pindaan Ordinan Darurat memberi gambaran kerajaan sudah terputus harapan terhadap kebijaksanaan dewan perundangan dan menganggap ia bukan wadah menyelesaikan kemelut rakyat.


Exco Pemuda Umno Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata dengan pindaan itu perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri boleh meluluskan belanjawan tambahan menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui parlimen atau dewan undangan negeri (DUN) bercanggah dengan demokrasi.


Mengikut amalan demokrasi katanya sesebuah kerajaan dipertanggungjawabkan melalui parlimen.


Justeru katanya tidak kira serumit mana pun keadaan dihadapi, kerajaan mesti tidak dilepaskan daripada penelitian ketat.


"Keadaan ini menggambarkan seolah-olah kerajaan PN telah putus harapan terhadap kebijaksanaan sidang parlimen serta menganggap ia bukan lagi wadah terbaik membincangkan penyelesaian terhadap kemelut rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 itu diwartakan susulan proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu berikutan pandemik Covid-19.


Pemasyhuran ordinan itu dibuat selepas Agong berpuas hati dengan tindakan serta-merta yang dikehendaki bagi menjamin dan mengekalkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.


Pindaan itu membolehkan ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan DUN atau parlimen.


Sebelum ini, sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri yang berhubungan dengan perbelanjaan yang dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi negeri serta perbelanjaan tambahan, memerlukan akta, enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau DUN bagi negeri dan pengeluaran daripada mana-mana Kumpulan Wang itu.


Mustafa berkata tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi negara ini yang membolehkan perdana menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggunakan duit negara mengikut budi bicaranya.


"Jika benar kerajaan memerlukan dana tambahan untuk mengatasi wabak Covid-19, maka bentangkanlah semua di parlimen melalui Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan.


"Saya percaya bahawa ahli-ahli parlimen pasti akan menyokong dan memberikan undi bersetuju sekiranya perancangan tersebut munasabah dan amat diperlukan, malah mampu untuk memberi tambah nilai yang lebih menyeluruh.


"Kini, seluruh nasib 30 juta rakyat Malaysia dan negara betul-betul terletak di atas tangan seorang individu sahaja," katanya lagi.


-MalaysiaKini