top of page
  • admin

Pinjaman PTPTN kepada M40 dinaikkan kepada 100%


KUALA LUMPUR,15 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 (M1) dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.


Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.


"Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi… banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.


Kerajaan juga bersetuju menyediakan komputer riba untuk dipinjamkan kepada peminjam PTPTN M40.


Ismail berkata, jualan murah juga akan diadakan di setiap IPT mulai bulan depan memandangkan kos sara hidup masih tinggi.


Dalam perkembangan lain, beliau menyeru pelajar berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.


Beliau berkata, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow baru-baru ini, dengan menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang dalam bahasa Melayu.

bottom of page