- newsatmy
PKP Bermula Rabu Ini Di Enam Negeri
11 Januari 2021
Farhana
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu akan berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari, Rabu ini sehingga 26 Januari.
Sebentar tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 itu semasa menyampaikan Perutusan Khas.
Enam negeri terbabit dalam PKP iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
Menurutnya, kesemua negeri tersebut telah dikenalpasti sebagai negeri berisiko tinggi hasil daripada penilaian oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.
Sementara itu, katanya lagi, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan kepada enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh 14 hari.
“Kementerian Kesihatan Malaysia akan memutuskan sama ada PKP akan dilanjutkan atau ditamatkan sebelum tempoh dua minggu tamat.
“Rentas negeri dan rentas daerah juga tidak dibenarkan. Susulan larangan ini, operasi sekatan jalan raya akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 malam, Rabu 13 Januari 2021,” katanya.
Bagi negeri yang dikenakan PKP, pergerakan juga terhad di dalam lingkungan 10 kilometer radius sahaja dengan dua anggota isi rumah dibenarkan keluar dan berada di dalam kenderaan.
Comments