• newsatmy

PKP: Polis tutup 26 'laluan tikus' di sempadan Terengganu-Kelantan

7 Mei 2021

BESUT: Polis Terengganu menutup 26 'laluan tikus' yang berpotensi menjadi jalan alternatif penduduk di sempadan Terengganu dan Kelantan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Besut serta musim perayaan Aidilfitri.


Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abd Rozak Muhamad berkata kesemua laluan itu telah dipasang kawat berduri untuk mengelakkan diceroboh penduduk.


Katanya, sebelum ini sebanyak 15 'lorong tikus' telah dikesan menghubungkan penduduk kedua-dua negeri itu namun ia semakin meningkat.


Jelas Abd Rozak, meskipun pihaknya telah meletakkan halangan di laluan terpencil itu, namun masih ada yang tidak bertanggungjawab merosakkannya dengan melakukan perbuatan khianat terhadap sekatan yang diletakkan.


“Semakin hari semakin meningkat, sehingga hari ini kita boleh katakan 26 'jalan tikus' yang telah mereka buat sendiri.


"Bagaimanapun kita sudah ambil tiindakan untuk menghalang dengan menggunakan water barricade dan kawat duri serta ada tempat terpaksa kita letakkan halangan simen.


“Mereka merosakkan halangan dengan merosakkan water barricade dan kawat duri itu,” katanya.


Dalam pada itu, Abd Rozak berkata sebanyak tiga sekatan jalan raya diadakan di Kampung Pacakan, Tok Saboh dan Gong Manok dengan kekuatan kira-kira 100 anggota.


Abd Rozak turut meminta orang ramai termasuk guru agar mematuhi syarat untuk merentas daerah dan negeri selain memperbaharui surat kebenaran tersebut.


Terdahulu sebanyak 14 mukim di Besut, Terengganu turut dikenakan PKP berkuat kuasa 7 hingga 20 Mei.


Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, PKP di 14 mukim itu dilaksanakan berikutan peningkatan kes berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran.


-Astro Awani