top of page
  • newsatmy

PKP: Sektor Ekonomi Perlu Dibenar Beroperasi


Dalam merangka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Kerajaan telah memastikan sektor ekonomi terus beroperasi, demi kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan mudah terjejas.


Berdasarkan pengalaman pelaksanaan PKP terdahulu dan data terkini, Kerajaan mendapati :


- Penutupan aktiviti ekonomi lebih memudaratkan kepada golongan rentan & mudah terjejas,

- Jika sektor utama seperti perkilangan tidak beroperasi, ianya bakal mendatangkan impak berpanjangan, dan

- Risiko penularan COVID-19 pada masa ini lebih menjurus kepada aktiviti sosial.


Memudaratkan kepada golongan rentan

Pada tahun lepas semasa PKP 1.0 dilaksanakan, pada masa itu Kerajaan masih belum mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan PKP dan seterusnya PKP secara menyeluruh telah dibuat di mana sektor ekonomi dan sosial telah ditutup.


Perkara ini telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi dan apa yang lebih membimbangkan ialah kadar pengangguran telah memuncak kepada 5.3% atau 836,000 pada bulan Mei 2020. Ini adalah yang tertinggi semenjak tahun Krisis Kewangan Global 2009.


Adalah diunjurkan jika dilaksanakan PKP sekarang seperti PKP 1.0, pengangguran bakal mencecah 7% melibatkan lebih 1 juta penganggur. Lebih lagi, pengangguran akan tidak sekata, dengan lebih tertumpu kepada golongan bekerja sendiri (seperti Makcik Kiah), belia, wanita serta mereka yang berkemahiran rendah. Di samping risiko pengangguran, golongan bekerja sendiri dan PKS mikro yang melibatkan 2.8 juta rakyat juga lebih berisiko mengalami kekurangan pendapatan.


Susulan daripada itu, Kerajaan telah melaksanakan PKP secara lebih bersasar berdasarkan pengalaman dan maklumat yang telah diperolehi. Ini sedikit sebanyak telah mengurangkan kadar pengangguran yang pada bulan Mac 2021 telah mencatatkan penurun kepada 4.7%. Tetapi kita masih lagi jauh daripada kadar pengangguran pada tahun 2019 iaitu 3.2%. Sehubungan itu adalah penting bagi sektor ekonomi untuk terus beroperasi bagi membolehkan rakyat terus mencari nafkah bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi untuk menampung keluarga mereka.


Apa yang membimbangkan berdasarkan kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), dan anggaran Bank Negara Malaysia pelaksanaan PKP 1.0 telah memberi impak signifikan kepada tahap kewangan dan simpanan rakyat dan syarikat di mana 82% daripada pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan yang dapat menampung mereka selama 2 bulan sahaja dan 76% MSME akan ditutup sekiranya PKP dilaksanakan secara menyeluruh.


Disamping itu, lebih 1 juta pencarum KWSP telah mengeluarkan simpanan Akaun 2 sepenuhnya dan 2.5 juta ahli KWSP juga telah memohon pengeluaran Akaun 1 di bawah i-Sinar.


Berdasarkan kaji selidik oleh UNICEF ke atas keluarga di perumahan kos rendah, didapati 63% menghadapi masalah membiayai barangan keperluan. Keadaannya lebih terjejas jika ketua isirumah merupakan OKU di mana peratusannya meningkat kepada 68%. Daripada isirumah yang dikaji, 57% tidak dapat membeli makanan yang mencukupi.


Impak berpanjangan jika ekonomi tidak beroperasi

Isu pengangguran dan kekurangan pendapatan terutamanya antara golongan berpendapatan rendah berpotensi melibatkan kesan jangkapanjang kepada generasi muda. Pihak UNICEF mendapati keluarga tersebut lebih berisiko anak-anak menghadapi kegagalan pertumbuhan fizikal biasa (stunting) dengan implikasi kepada kesihatan pada masa depan. Di samping tidak dapat menyediakan makanan yang mencukupi dan berzat, keluarga berpendapatan rendah juga berisiko lebih terjejas dari segi aspek pembelajaran terutamanya semasa tempoh PDPR.


Dengan itu, Kerajaan mengutamakan pembukaan aktiviti ekonomi bagi mengurangkan kesusahan kepada rakyat terutamanya yang mudah terjejas. Walaupun ekonomi negara mengalami kegawatan pada tahun 2020 dengan penguncupan KDNK sebanyak 5.6%, ekonomi negara bakal mencapai pemulihan pada tahun 2021 dengan unjuran pertumbuhan KDNK di antara 6.0% hingga 7.5%.


Negara Malaysia dapat mencapai pemulihan pantas ini dengan meraih peluang daripada pemulihan ekonomi dunia yang diunjurkan oleh pihak IMF akan berkembang pada kadar 6% pada tahun 2021. Ini hanya dapat dicapai jika sektor ekonomi utama, terutamanya sektor bereksport dapat terus beroperasi dan memenuhi perkembangan perdagangan.


Walau bagaimanapun, jika sektor eksport seperti pembuatan tidak dibenarkan beroperasi, ianya berpotensi menyebabkan ‘reshoring’. Fenomena ini adalah di mana pelanggan antarabangsa yang menghadapi gangguan bekalan daripada Malaysia, akan beralih ke pembekal di negara lain.


Kehilangan pasaran tersebut tidak mudah untuk dikembalikan dan dengan itu, bakal melambatkan pemulihan ekonomi serta menjejaskan penjanaan pekerjaan baharu.


Risiko aktiviti sosial

Sedia maklum pada awal tahun 2021, peningkatan kes tertumpu di sektor seperti pengilangan dan pembinaan. Kerajaan seterusnya telah mengambil langkah memperkenalkan safe@work serta mempertingkatkan penguatkuasaan terutamanya atas Akta 446 berhubung piawaian penginapan pekerja.


Ordinan juga telah diluluskan untuk meningkatkan denda bagi ketidakpatuhan SOP di tempat kerja. Majikan swasta juga telah meningkatkan usaha melaksanakan saringan COVID-19 di kalangan pekerjanya dan juga memperketatkan SOP supaya mengelakkan tindakan penutupan operasi oleh pihak berkuasa.


Hasil daripada usaha yang diambil oleh Kerajaan serta majikan swasta, didapati berdasarkan analisa sistem HIDE, risiko pemunculan kluster baharu di tempat kerja seperti kilang telah menurun dan pada masa ini, lebih tertumpu di kawasan aktiviti sosial dan keramaian termasuk kompleks membeli belah.


Tambahan, dengan menjelang musim Hari Raya Aidil Fitri, Kerajaan telah mengambil langkah untuk tidak membenarkan segala aktiviti sosial, pendidikan dan sukan berkumpulan. Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan negara lain termasuk negara jiran.


Langkah memperketatkan kawalan pergerakan termasuk tidak membenarkan rentas daerah dan negeri perlu diambil mengambil kira kenaikan mendadak kes positif COVID-19 dan kapasiti penuh hospital awam. Namun, dalam mempelajari daripada pengalaman PKP lepas serta data COVID-19 negara yang terkini, Kerajaan melaksanakan kawalan atas aktiviti sosial di samping membenarkan aktiviti ekonomi terus beroperasi bagi mengurangkan kemudaratan kepada rakyat, terutamanya yang mudah terjejas dan menjamin masa depan negara.


Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi untuk kesejahteraan serta mengimbangi antara kehidupan dan mata pencarian rakyat.

bottom of page