top of page
  • newsatmy

PKPD selepas penularan di kilang elektronik

Updated: Dec 1, 2020


Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah di Ipoh, Perak menjadi dua kawasan kediaman terbaru diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan dari 1 hingga 14 Disember.


Perkara ini diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat khas hari ini susulan lonjakan Covid-19 di kawasan itu dan mendapati kebanyakan yang dijangkiti bekerja di dua kilang elektronik berdekatan.


"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jangkitan Covid-19 yang melibatkan pekerja di kedua-dua kilang ini telah merebak di kawasan tempat tinggal mereka.


"Sehingga kini, kesemua 1,402 pekerja daripada Kilang Kamaya telah disaring dan jumlah kumulatif kes positif yang direkodkan adalah sebanyak 228 kes.


"Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan pekerja yang tinggal di Zon A, Taman Klebang Jaya, Ipoh.


"Manakala 737 ujian saringan telah dilaksanakan dalam kalangan pekerja di Kilang Salutica, sebanyak 119 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan 618 saringan masih menunggu keputusan.


"Daripada jumlah itu, 89 kes positif Covid-19 adalah melibatkan jangkitan pekerja yang tinggal di Taman Pinji Mewah," maklum Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.


Tambahnya lagi, PKPD turut akan dikenakan ke atas Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru di Lahad Datu, Sabah selama dua minggu mulai 2 Disember setelah 90 yang diuji didapati positif Covid-19 daripada 665 pemeriksaan yang dilakukan di kedua-dua kampung itu. PKPD ini dianggarkan mencakupi 914 rumah dengan 4,934 penduduk, katanya. Keputusan ini dibuat seiring dengan arahan Pusat Tahanan Sementara Sibuga di Sandakan yang akan ditempatkan di bawah PKPD untuk tempoh yang sama, melibatkan 1,209 individu yang terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 kakitangan pusat tahanan.


bottom of page