top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PKR akan mengumumkan calon bagi 17 kerusi Johor

14 Februari 2022

JOHOR BAHRU: PKR akan mengumumkan kesemua 17 calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor hari ini.


Sumber PKR berkata, pengumuman itu akan dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Pengumuman 17 calon PKR akan dibuat dalam tiga peringkat.


“Pengumuman calon Johor Selatan akan dibuat di Hotel Thistle di sini, jam 11.30 pagi hari ini.


“Kemudian calon Johor Tengah akan diumumkan di Pejabat PKR Rengit pada pukul 6 petang diikuti calon Johor Utara di Hotel Pelican pada pukul 9 malam,” katanya ketika dihubungi.


Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh hari ini dilaporkan berkata pembahagian tiga kerusi PKR kepada Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) untuk menghadapi pilihan raya Johor, akan dimuktamadkan selewat-lewatnya hari ini atau pagi esok.


Ia akan diikuti dengan pelancaran jentera pilihan raya PKR, Pakatan Harapan (PH) dan MUDA yang akan dilakukan pada pukul 2 petang nanti dan dihadiri semua pemimpin parti PH.


Pada 27 Jan, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dilaporkan berkata parti itu dan PKR masing-masing akan bertanding 20 kerusi, manakala DAP akan bertanding 16 kerusi pada pilihan raya Johor yang berlangsung pada 12 Mac ini.


Pusingan pertama rundingan antara PKR, Amanah dan DAP berakhir pada 25 Jan.


Rundingan pembahagian kerusi pusingan kedua melibatkan semua parti bersama MUDA, dengan setiap parti mengagihkan kerusi mereka kepada parti baharu.


MUDA dilaporkan diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, Amanah dan DAP Johor.


Dalam satu kenyataan bersama antara Amanah, DAP dan MUDA Rabu lepas, parti itu berkata keputusan mengenai peruntukan kerusi bagi pilihan raya Johor dicapai selepas beberapa siri rundingan.


Persetujuan antara ketiga-tiga parti itu menyaksikan MUDA memperuntukkan enam kerusi di DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.


Perkembangan itu juga mengesahkan bahawa MUDA akan bertanding sekurang-kurangnya sembilan kerusi dalam pilihan raya Johor.

bottom of page