• newsatmy

PM ada pilihan ganti ahli Kabinet letak jawatan - Penganalisis politik

29 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Selagi mempunyai sokongan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pilihan untuk menggantikan ahli Kabinet yang meletakkan jawatan dengan anggota baharu.


Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpendapat gesaan pimpinan tertinggi UMNO termasuk presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya anggota Kabinet UMNO meletakkan jawatan hanya dilihat sebagai memberi tekanan kepada perdana menteri untuk membubarkan Parlimen.


"Desakan seperti ini adalah satu tekanan kepada kerajaan dan memberi pilihan yang sukar kepada Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan sekarang.


"Ini kerana selain kepada kepentingan parti, menteri-menteri Kabinet UMNO mungkin melihat dari sudut kepentingan negara dan rakyat tatkala sedang mengalami pemulihan ekonomi," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, di sini, pada Isnin.


Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) semalam, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.


Pada masa sama, beliau memaklumkan UMNO juga menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).


Mengulas lanjut, Mazlan berkata tindakan meletak jawatan beramai-ramai hanya akan mengakibatkan program-program seperti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tertunda disebabkan oleh ketidakstabilan negara.


Dalam perkembangan sama, persepsi rakyat terhadap parti itu semakin pulih berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) bermula di Cameron Highlands, Semenyih dan terbaharu di Slim yang menunjukkan secara asasnya UMNO mendapat sokongan.


"Maka berasaskan perkara ini, UMNO merasakan mereka boleh bertanding kerusi-kerusi tradisi.


"Sudah pasti kerjasama yang dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan memaksa UMNO menyerahkan kerusi-kerusi tradisi mereka kepada parti lain termasuk BERSATU," tambahnya lagi.


Mazlan dalam pada itu tidak menolak kemungkinan UMNO akan membuka pintu kepada parti-parti lain bagi membentuk kerajaan jika tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi selepas PRU15.


- Sinar Harian

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.