PM Bertemu Pembangkang Pendekatan Keluarga Malaysia – Armada
27 Ogos 2021
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Armada BERSATU, Mohd. Ashraf Mustaqim menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan pembangkang perlu diterima baik oleh semua pihak.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berpendapat pendekatan itu seharusnya dinilai dari luar kanta politik kepartian.
“Langkah yang diambil Perdana Menteri sejujurnya adalah manifestasi hasrat penyatuan yang pernah dimangkin terdahulunya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganjurkan sebuah tawaran persis slogan ‘Keluarga Malaysia’ untuk mencapai kestabilan utamanya dalam pentadbiran tanah air demi fokus sepenuhnya dapat dipusatkan kepada rakyat.
“Tindakan ini sekali gus wajar dilihat sebagai inisiatif yang akan mencetus kesinambungan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digagaskan Muhyiddin serta Kabinet Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang mendirikan batu asas PPN, selaku jalan keluar untuk memperkasa hidup dan juga kehidupan dengan tekad membantu agenda pemulihan dan membangun kembali cabang sosio-ekonomi serta kesihatan yang saban hari, kini telah menampakkan kejayaannya,” katanya.
Justeru, katanya, amatlah wajar untuk mengetepikan perbezaan politik dalam waktu ini, selama mana ianya dapat membantu fungsi kerajaan dalam membantu rakyat.
“Apatah lagi sekiranya barisan eksekutif yang bakal diketengahkan Perdana Menteri bebas dari palitan kes-kes salah laku di mahkamah, maka sinergi antara komponen kerajaan sebegitu pembangkang untuk tidak meneruskan agenda ‘politicking’ amatlah dituntut demi sebuah nafas baharu dalam keberadaan politik yang tenat, masyarakat yang mahukan kestabilan dalam negara,” katanya.
Namun, katanya, jika langkah Perdana Menteri kelihatan songsang, tidak hairan jika ia mampu mencetuskan kembali kecelaruan seperti mana yang dilakukan oleh segelintir pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) serta blok pembangkang lainnya sebelum ini.
“Ini dalam pada tindakan mereka yang semata-mata sekadar mahu menjatuhkan kerajaan atas kesumat politik dan demi menyelamatkan diri dari kes-kes salah laku, tanpa sedikit pun menawarkan sebarang solusi kerjasama demi rakyat.
“Ini sehingga membuatkan rakyat menjadi muak melihat kegilaan perebutan kuasa dan permainan politik yang dipertontonkan, sedang kerajaan PN bertungkus-lumus mengimbangi jalan keluar untuk negara yang berhadapan krisis,” katanya.
Oleh itu, Mohd. Ashraf berharap agenda reform yang pernah ditawarkan oleh Muhyiddin seperti Akta Anti Lompat Parti, penggal Perdana Menteri dan beberapa hasrat perubahan institusi lainnya yang dikemukakan menjadi ‘menu’ bersama kepada kemajuan demokrasi tanah air.
“Sekali gus slogan “Menang Bersama” yang dilaungkan selama ini berada pada letak duduknya bertepatan citra semasa Keluarga Malaysia,” katanya.
--PN Online
コメント