top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PM mahu hubungan Malaysia-Mesir lebih erat

19 Jun 2021

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin, telah mengadakan perbincangan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Abdel Fattah Al Sisi, Presiden Mesir, yang antara lain memfokuskan kepada usaha untuk menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Mesir, terutama dalam konteks politik dan ekonomi, semalam.


Pada perbincangan julung kali yang diadakan secara persidangan video ini, beliau mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir di mana TYT Abdel Fattah Al Sisi menyambut baik cadangan ini dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera.


Beliau juga berkata, mereka banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama, khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur. Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.


"Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan pihak Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia, malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,


"Saya dan TYT Abdel Fattah Al Sisi turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan Malaysia-Mesir pada masa hadapan. Dalam hal ini, saya mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation, dan cadangan ini telah disambut baik oleh TYT Presiden," ujar beliau.


Malaysia juga menyatakan penghargaan ke atas peluang-peluang pendidikan yang diberikan oleh Kerajaan Mesir kepada rakyat negara ini di mana buat masa ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.


Perbincangan tersebut turut menyentuh mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa khususnya situasi terkini di Palestin.


Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.


"Dalam hal ini, saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza,

"Alhamdulillah, TYT Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin," tambah beliau lagi.


Perbualan diakhiri dengan saling mengundang untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing selepas pandemik COVID-19 berakhir.



--PN Online

bottom of page