top of page
  • newsatmy

PN Beri tawaran baharu pada rakyat Melaka-Muhyiddin

21 Oktober-JASIN

PERIKATAN Nasional (PN) memberikan tawaran baharu kepada rakyat Melaka untuk negeri lebih maju tanpa meninggalkan sesiapa pun terpinggir daripada kemakmuran.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prinsip yang diangkat PN juga tidak membenarkannya berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Kata beliau, kesempatan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dimaanfaatkan oleh rakyat neger itu untuk memilih kerajaan yang lebih baik dan diyakini membela rakyat.

“Kita hendak membina kerajaan yang bersih, kita sanggup membela setiap rakyat, tidak kira anda Melayu, Cina, India, Portugis, Orang Asal, kita akan berusaha untuk anda,” katanya ketika berucap pada majlis Minum Petang Bersama Masyarakat di Dewan Serbaguna Taman Maju, Jasin hari ini.

Hadir sama, Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau, Pengerusi PN Melaka yang juga Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mod. Harun; dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Beliau menegaskan, PN sentiasa menekankan teras terhadap nilai-nilai agama, akhlak murni dan budi bangsa agar masyarakat sentiasa saling hormat-menghormati.

“Inilah tawaran baharu untuk Melaka, kita akan memberikan yang terbaik, ada masa depan yang lebih baik jika PN diberi kuasa mentadbir Melaka,” katanya.-WR

bottom of page