top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PN harus bijak bertindak, tekan 'Button' PRU - BERSATU Pontian

25 Januari 2022

AYER HITAM: Bersatu Bahagian Pontian menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada waktu ini, kerana ia dilihat tidak sensitif memandangkan rakyat sedang mengalami krisis kesihatan COVID-19 dan ekonomi domestik serta bencana banjir yang terjadi baru-baru ini.


Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato' Isa bin Ab. Hamid berkata, Bersatu Bahagian Pontian mencadangkan supaya kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu dapat bertindak dengan menekan ‘button’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ini bertujuan untuk supaya kita semua bertanggungjawab menentukan hala tuju politik negara sama ada ia dipimpin oleh sama ada parti Barisan Nasional (BN), PN mahupun Pakatan Harapan (PH).


“Jika kita perhatikan, yang utamanya, dengan PRU ini kadar keluar mengundi akan lebih tinggi dan mungkin akan lebih berpihak kepada kita,


“Kita takut dengan adakan PRN sahaja, rakyat akan bosan dan tidak bersemangat untuk keluar mengundi terutamanya golongan muda,


Kita boleh ambil contoh dan iktibar daripada PRN Melaka, hanya 65.85% atau 326,068 daripada 495,195 sahaja yang keluar mengundi”, katanya ketika ditemui di Perjumpaan Ketua Bahagian Johor di Ayer Hitam, semalam.


Seterusnya, beliau berkata kerajaan dapat menjimatkan duit dengan adakan PRU15 daripada PRN, di mana kerajaan dapat lihat serta ambil iktibar dengan apa yang terjadi di PRN Melaka yang menelan kos perbelanjaan sekitar RM46 juta, seperti yang diumumkan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 18 Oktober lalu.


Dan jika PRN Johor diadakan, kerajaan akan menelan lagi kos yang lebih besar dan ini akan merugikan semua pihak kerana lokaliti Johor lebih luas dan beberapa pulau dan pedalaman yang lebih ‘hard core’ seperti di Mersing, Kahang, Kluang, Segamat dan lain-lain tempat lagi.


Beliau turut berkata, dengan PRU ini juga gerak kerja akan tertumpu di Parlimen dan DUN masing-masing sahaja.


“Apa yang saya dapat lihat, PRN Johor ini adalah unsur untuk satu pembunuhan watak politik, terutamanya UMNO yang sudah semestinya akan tertumpu di Pagoh untuk membunuh watak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kami di barisan kepimpinan peringkat bahagian tidak mahu perkara itu berlaku,


“Malaysia sudah menghadapi 3 siri PRN, iaitu di Sabah, Melaka dan Johor dalam tempoh 1 tahun dan dijangkakan untuk PRN Johor, SPR akan berbelanja RM150juta dan berkemungkinan PRN Perak akan dilakukan dan akan memakan beratus juta wang cukai hanya untuk kuasa politik kepartian,


“Pada saya apabila kita mengadakan PRU sekaligus, gerakan untuk membazirkan duit rakyat, gerakan untuk mengambil kuasa di PRN satu demi satu akan dapat disekat secara bijaksana,”


“Hari ini negara sedang tetekan dengan masalah ekonomi yang sedang meruncing disebabkan faktor Covid-19 dan baru-baru ini negara menghabiskan sekitar RM2 bilion untuk membantu mangsa banjir dan ini adalah lebih baik untuk terus mengadakan PRU15 untuk menjimatkan kos dan masa,


“Dan terpulang kepada kerajan selepas ini untuk membaikpulih dan mengurus negara dengan lebih baik.


Beliau turut mempersoalkan mengapa PRN itu perlu diadakan ketika masalah COVID-19 masih belum selesai, selain dengan situasi banjir di negeri itu yang belum pulih sepenuhnya.


"Masalah banjir belum selesai termasuk di Johor, banjir surut tetapi ia tidak bermakna sudah selesai masalah, rakyat juga masih susah, orang tidak faham kerana mereka tidak turun ke bawah, melihat kesusahan rakyat,


“Saya yakin rakyat belum bersedia untuk diadakan PRN dengan situasi mereka yang getir sekarang ini,”


Dengan menekan ‘button’ PRU, pihak BERSATU dapat memberi ‘signal’ kepada BN bahawa BERSATU turut ada maruah sendiri.

“Kita tidak akan tunduk dengan BN dan tidak akan mengalah untuk memperjuangkan nasib rakyat,”


Beliau berkata, ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penerangan di peringkat Negeri Johor yang dihadiri seramai 21 daripada 26 bahagian telah bersetuju untuk mengadakan PRU.


Daripada pemerhatian, beliau dapati ahli-ahli di peringkat akar umbi waima di peringkat cawangan mendesak untuk supaya diadakan PRU terus.


“Apa pun keputusan, kita akan terima keputusan yang lebih arif dan bijak daripada kepimpinan tertinggi, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional,” tambah beliau.


Manakala, Ketua Bahagian Bakri, Mahadzir bin Abu Said berkata, jika tidak berlaku PRU, PN harus bergabung dengan PH supaya undi tidak berpecah dan gabungan antara PN dan PH ini membuatkan jumlah undian akan mengatasi undian BN.


“Jadi di peringkat negeri, kita akan dapat melawan BN, begitu juga sebaliknya jika kita berpecah kepada tiga bermakna BN akan memonopoli semua undian,


“Maka apabila PRU dijalankan, saya yakin ‘mood’ rakyat untuk keluar mengundi akan lebih bersemangat, dan mungkin keputusan yang diperolehi akan lebih adil dan lebih tepat dan mungkin pengundi-pengundi muda akan berpihak kepada kita berbanding dengan PRN di mana hanya penduduk tempatan dan warga tua sahaja yang keluar mengundi,


“Ini lah apa yang dikehendaki oleh pihak UMNO di mana penyokong-penyokong tegar mereka sahaja yang berada di kampung yang akan keluar mengundi,” ujarnya.


Pendapat daripada PKB BERSATU Simpang Renggam, Azman Mohd Umar berkata, dari hasil kajian statistik dan kaji selidik yang terkini, kebarangkalian untuk PN memperolehi kemenangan majoriti di PRN Johor boleh dianggap tipis, jika berlaku pertembungan 3 penjuru.


Beliau mencadangkan untuk diadakan satu gabungan parti politik yang mana boleh di panggil Gabungan Bangsa Johor (GBJ) seperti yang telah belaku di PRN Sabah.


Gabungan ini khusus di negeri Johor sahaja, demi menghadapi PRN Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi.


“Kami beranggapan rakyat negeri Johor harus berfikiran rasional dan terbuka serta menolak perasaan ego dan perasaan tidak kepuasan hati diantara sesama parti yang terdapat di negeri Johor demi suatu kejayaan,


“Kami mencadangkan GBJ terdiri daripada parti-parti seperti BERSATU, PAS, GERAKAN, PKR, AMANAH dan juga DAP,”


Beliau mempunyai keyakinan dengan adanya rundingan yang baik diperingkat negeri Johor sahaja, barulah satu kejayaan dapat dicapai serta secara langsung dapat menumbangkan UMNO/BN yang angkuh dan sombong.


“Sama-sama kita ketepikan perbezaan yang sedikit demi kejayaan yang lebih besar, inshAllah,” tambah beliau akhiri kata.

bottom of page