• admin

PN Kedah kuat, stabil


ALOR SETAR, 01 Okt – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk hasil gabungan bersama beberapa parti termasuklah BERSATU di Kedah diyakini masih kuat dan kekal stabil.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tiada sebarang pergolakan mahupun pergelutan antara parti dalam kerajaan PN Kedah

.

“Hanya kita bergelut dengan Barisan Nasional (BN) saja. Hendak berkawan ke (atau) nak melawan kita pun tidak tahu tetapi sekilas ikan di air kita sudah tahu jantan atau betina.

“Ini sekali mereka (BN) bercakap kita (sudah) tahu nak kawan atau nak lawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Setiusaha Agung PN di sebuah hotel, di sini, pada malam Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, di peringkat negeri, PN telah bersedia sepenuhnya walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi di Kedah.


“Ketika ini, parti-parti yang bergabung untuk membentuk PN di Kedah sedang mengukuhkah jentera pilihan raya masing-masing,” katanya.


Beliau memberitahu, PAS sendiri bukan sahaja sudah melancarkan jentera pilihan raya PAS di semua kawasan, malah jentera pemilihan PAS negeri dan Pusat.


“Saya juga dimaklumkan pihak BERSATU dan Gerakan sedang menyusun jentera masing-masing. Apabila semua kekuatan parti-parti yang membentuk PN Kedah telah bersiap sedia sepenuhnya.


“Gabungan kita semua pada peringkat negeri akan menghasilkan ketumbukan jentera pilihan raya yang kita kuat untuk kita hadapi sesiapa saja dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.


Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menegaskan tiada sebarang isu yang wujud di Kedah di bawah pimpinan beliau sendiri seperti cuba dibangkitkan pihak tertentu.

“Kita tidak amalkan rasuah, kita tidak ambil duit orang, kita tidak aniaya orang dan kita tidak buat kerja-kerja bodoh, sebaliknya kita melakukan kerja dengan cermat.


“Saya pastikan setiap Exco Kerajaan Negeri, setiap wakil rakyat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melakukan kerja masing-masing dan tidak merapu,” katanya.


Muhammad Sanusi mengingatkan semua pihak sama ada peringkat JPKK,ahli majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehinggalah peringkat Menteri Besar sendiri untuk menjaga kerajaan negeri dengan sebaik-baiknya.


“Jangan biarkan benteng bocor dari penambang yang kita dan dari sudut yang diamanahkan kepada kita. PN parti ada intergriti, parti membanteras rasuah dan tidak akan berkompromi salah guna kuasa jadi kita buktikan sungguh-sunguuh,” katanya.