PN Negeri Sembilan yakin Muhyiddin mampu selesai masalah pandemik
8 Ogos 2021
KUALA PILAH: Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yakin kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menyelesaikan masalah berkaitan pandemik COVID-19 sedikit masa lagi.
Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kepimpinan Muhyiddin dilihat tidak putus-putus berusaha menyelesaikan pelbagai masalah sepanjang tempoh pandemik ini.
“Kita sentiasa diuji supaya tidak berasa leka dan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan, justeru, apa juga cabaran yang ada, kerajaan tetap berusaha dan yakin ia akan berhasil dalam sedikit masa lagi.
“Dalam situasi sekarang, kita memerlukan kerjasama semua pihak supaya keadaan politik menjadi lebih stabil kerana itu adalah yang terbaik yang kita ada buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bakul makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Masjid Senaling pada Sabtu.
Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, keadaan negara ketika ini tidak mengizinkan berlakunya sebarang pertukaran kerajaan seperti yang didesak banyak pihak.
“Saya bimbang jika bertukar kerajaan, keadaan akan lebih teruk daripada apa yang berlaku ketika ini, ini merupakan pengalaman yang pertama kali seumpamanya, ia juga tidak pernah dilalui oleh mana-mana Perdana Menteri,” katanya.
--PN Online
Comments