top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PN setuju namakan Ismail Sabri sebagai PM tetapi bersyarat

19 Ogos 2021

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ahli parti di bawah Perikatan Nasional (PN) di mana semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri, YB Dato, Seri Ismail Sabri, sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan PN yang baharu.


Kesemua ahli telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara, semalam, dan 4 Ahli Dewan Rakyat Bebas Pro-PN juga telah berbuat demikian.


Beliau telah berunding dengan pimpinan Parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.


Keputusan telah dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.


Keputusan ini turut dibuat setelah kerajaan Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dan perebutan kuasa.


"Ahli Politik mestilah berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara,


"Selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti, sokongan PN kepada Dato, Seri Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO adalah bersyarat.


"Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,


"Di bawah pimpinan beliau, Kerajaan PN mestilah menneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan," kata beliau.


Beliau turut berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.


Selaku Pengerusi PN, beliau akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 apabila tiba masanya.



--PN Online

bottom of page