top of page
  • Writer's pictureNihaba

PN tuntut penjelasan hasil lawatan Anwar ke Arab Saudi di Parlimen

26 mac

Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan daripada kerajaan mengenai apa yang berlaku sewaktu lawatan rasmi Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini, yang mana perdana menteri dan rombongan menterinya gagal bertemu dengan pemerintah “de facto” kerajaan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.


Gabungan pembangkang itu juga menggesa Anwar untuk memberikan pendedahan penuh mengenai kos perjalanan termasuk butiran keselamatan dan anggota rombongan lain, kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.


“Arab Saudi bukan sahaja merupakan rakan dagangan penting Malaysia, malah mempunyai hubungan yang amat akrab dengan negara kita.


“Di atas kepentingan ini, perdana menteri diminta untuk menjelaskan kegagalan lawatan ini di dalam Dewan Rakyat agar ahli-ahli Parlimen dapat merungkai dan menghuraikan dengan lebih lanjut supaya hubungan rapat dua hala kedua-dua negara akan terus dipertahankan,” kata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mengetuai jawatankuasa hal ehwal antarabangsa PN.


Persoalan timbul selepas disahkan Anwar tidak dapat bertemu Mohammed, putera mahkota Arab Saudi yang juga perdana menteri, walaupun pertemuan mereka dijadualkan sebagai acara kemuncak ketika lawatan rasmi tiga hari beliau.


Wisma Putra sebelum ini berkata lawatan itu atas jemputan Mohammed.


Laporan Bernama berkata pertemuan itu tidak berlangsung kerana putera mahkota itu mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan.


Beliau berkata Pejabat Perdana Menteri mesti menjawab soalan serius mengenai hubungan Malaysia-Arab Saudi.



Wan Fayhsal mengingatkan kepentingan Arab Saudi bukan sahaja sebagai penjaga dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah, tetapi juga rakan perdagangan penting bagi Malaysia.


“Pelaburan Arab Saudi melalui Saudi Aramco di Pengerang adalah salah satu contoh pelaburan berimpak tinggi yang membantu Malaysia dalam pembangunan industri minyak dan gas berteknologi tinggi.”


“Dalam ketegasan perdana menteri agar kerajaan melaksanakan dasar penjimatan dalam pentadbirannya, saya meminta agar perdana menteri membentangkan dalam Parlimen keseluruhan kos lawatan ini, termasuk segala persiapan yang telah dibuat melibatkan segala kos perjalanan dan perbelanjaan pasukan keselamatan, delegasi dari Pejabat Perdana Menteri serta dari Pejabat menteri-menteri yang mengiringi perdana menteri dalam siri lawatan ke Arab Saudi pada kali ini.”

bottom of page