top of page
  • newsatmy

PN yakin pertahan empat negeri, kekuatan di Parlimen dan DUN


SERDANG, 28 Ogos – Masih terlalu awal untuk Perikatan Nasional (PN) berasa yakin, boleh membentuk kerajaan Persekutuan sendiri selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ketika ini parti masih membuat kajian untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan di seluruh negara.


Namun, berdasarkan bacaan awal, beliau berkata, sekurang-kurangnya empat negeri di bawah PN iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Sabah akan dapat dipertahankan.

“Kalau ikut bacaan saya, negeri-negeri ini bukan saja dapat dipertahankan, tapi akan ada pertambahan kekuatan. Kita tahu kawasan di luar empat negeri itu kita fikir boleh menang, seperti kerusi ‘incumbent’ yang musuh kita lebih lemah dan pelbagai masalah lagi yang melanda mereka.

“Kita ambil kira satu-persatu, tetapi kita tidak boleh overconfident. Have to be realistic, depan anda (media) mungkin saya cakap begini, tapi di belakang kita kena fikir (segala kemungkinan),” katanya lagi.

Beliau bercakap demikian kepada sidang media selepas selesai berucap menutup Konvensyen PN 2022, di sini,petang Sabtu


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kajian daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menunjukkan sokongan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah merosot, manakala sokongan kepada PN meningkat 26 peratus.


Selain itu, katanya lagi, kajian bebas yang lain menunjukkan pengundi muda, terutamanya dari golongan Undi18 mempunyai kecenderungan untuk menyokong PN.


Terdahulu, dalam ucapan penutupnya, Muhyiddin berkata, PN akan terus mengekalkan ciri calon yang prihatin rakyat dan yang paling penting, berpegang kepada nilai integriti.

Dan prinsip itu, katanya lagi, telah disokong dan dijadikan teras utama oleh perwakilan PN sebagai usaha menghadapi PRU yang akan datang.

“Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri, kita keluarkan arahan supaya pimpinan di semua bahagian, mengenal pasti tokoh-tokoh dan calon yang berkelayakan, berkaliber, ada latar belakang pendidikan tinggi, disenangi penduduk.

“Kita sudah tunjukkan di Johor dan Melaka, semua calon kita angkat sumpah, menentang rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan. Kedua-dua PRN Johor dan Melaka kita pastikan calon kita angkat sumpah. Saya fikir di waktu itu, tiada parti lain yang berbuat demikian.

“Kita berpegang pada prinsip integriti dan ini akan jadi satu amalan kita apabila kita masuk PRU nanti. Kerana kita nak kekalkan prinsip dan pendirian kita menentang rasuah dan salah guna kuasa,” tegasnya lagi.

bottom of page