top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Polis diarah siasat dakwaan Ahli Parlimen terima mesej berunsur rasuah – Hamzah

10 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Polis diarah untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh terhadap semua laporan polis berhubung dakwaan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menerima mesej berunsur rasuah melalui aplikasi WhatsApp.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata selain merujuk laporan polis itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), siasatan juga dilaksanakan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh pihak yang terlibat.


“Kementerian Dalam Negeri akan memastikan tindakan tegas tanpa kompromi diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan jenayah, termasuk pihak yang membuat laporan polis yang palsu dan fitnah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Hari ini, SPRM dalam kenyataan dilaporkan memaklumkan telah bertemu dengan tiga Ahli Parlimen DAP berhubung dakwaan ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).


SPRM menyatakan pihaknya memandang serius mengenai dakwaan beberapa Ahli Parlimen DAP ditawarkan rasuah oleh sesetengah pihak untuk menyokong kerajaan PN.


Antara yang dilapor menerima mesej itu adalah Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Utara Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.



--PN Online

bottom of page